Insiden remaja maut renjatan: Persatuan tak setuju operasi bas digantung

Insiden remaja maut renjatan: Persatuan tak setuju operasi bas digantung

Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia berkata punca sebenar kejadian belum diketahui sama ada kesalahan pada mangsa atau pengoperasian bas.

anthony loke siew fook
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook hari ini mengumumkan penggantungan serta-merta operasi bas terbabit insiden renjatan elektrik dengan pasukan petugas khas ditubuhkan bagi siasatan.
PETALING JAYA:
Satu persatuan bas membantah penggantungan serta-merta operasi bas ekspres disyaki terlibat insiden renjatan elektrik sehingga mengakibatkan remaja maut di Pulau Pinang.

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Abu Hassan Awang, berkata siasatan perlu dilakukan terlebih dulu dengan punca sebenar dikenal pasti, sebelum arahan penggantungan dibuat.

“Paling tepat kena ada satu siasatan, lihat pada pelan bas berkenaan, barang yang digunakan, inventori, dan di mana kedudukan suis itu.

“Kalau sudah tahu dekat mana silapnya dan adakah punca suis dalam bas itu yang menyebabkan kematian, barulah ia boleh digantung,” katanya kepada Berita Harian.

Abu Hassan ketika mengulas lanjut, berkata orang ramai tidak boleh menyalahkan pengusaha bas sepenuhnya kerana punca kejadian belum diketahui.

Katanya, berkemungkinan renjatan elektrik itu berlaku disebabkan kesalahan pada pemasangan soket dan ia juga boleh berpunca pengecas digunakan mangsa.

Beliau menegaskan, soket dalam bas tidak sesuai digunakan mengecas komputer riba kerana voltan terlalu tinggi.

“Syarikat akan memantau keadaan di dalam bas, jika ada yang masih berdegil, kita akan minta pemandu untuk menegur. Begitu juga jika penumpang mengecas telefon bimbit, ia hanya boleh digunakan dalam tempoh tertentu dan bukannya secara berterusan sepanjang perjalanan,” katanya.

Hari ini, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, mengumumkan penggantungan serta-merta operasi bas terbabit insiden renjatan elektrik.

Beliau berkata, pasukan petugas khas ditubuhkan bagi siasatan melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Semalam, dilaporkan seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mengecas telefon bimbit di soket dalam sebuah bas ekspres di Penang Sentral, pada Jumaat.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Anuar Abd Rahman, berkata mangsa Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, ditemukan maut dalam kejadian kira-kira 6.10 petang.

Hasil pemeriksaan awal polis terhadap tubuh mangsa mendapati terdapat kesan melecur di jari sebelah kiri, disyaki berpunca daripada renjatan elektrik.

Pemeriksaan turut mendapati penghujung kabel yang digunakan cair, dan telefon bimbit mangsa berada dalam keadaan panas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.