
Mangsa yang juga pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad, Muhammad Hariyz Akief Noraimi, 14, disahkan meninggal dunia Hospital Kuala Nerang.
Rakannya yang berusia 15 hingga 19 tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.
Ketua Pengurusan Polis Padang Terap Yukhrul Mohd Yusoff berkata kejadian sekitar 6.30 petang semalam itu berlaku ketika sekumpulan remaja berkenaan mahu mengambil umpan pancing tiruan tersangkut di kabel elektrik.
Menurutnya, salah seorang rakan mangsa naik di atas tempat duduk motosikal dan menggunakan sebatang galah aluminium sebelum cuba mengait umpan tiruan itu.
“Mangsa bersama rakan-rakannya yang lain memegang motosikal supaya tidak terjatuh dan ketika cuba mengait umpan tiruan itu, secara tiba-tiba mereka berlima terkena renjatan elektrik sehingga pengsan.
“Keempat-empat rakan-rakannya sedar kembali manakala mangsa masih tidak sedarkan diri,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Nerang oleh penduduk kampung namun mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat,” katanya.