Staf kesihatan pembuli patut dipecat, kata pemikir

Staf kesihatan pembuli patut dipecat, kata pemikir

Azrul Khalib berkata garis panduan tangani buli di tempat kerja juga perlu liputi penurunan pangkat atau penggantungan jika didapati salah.

Kaji selidik MMA tahun lalu, mendapati sehingga 40% daripada 728 doktor di sektor awam dan swasta seluruh negara pernah berdepan beberapa bentuk pembulian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tindakan disiplin sewajarnya termasuk pecat patut dikenakan terhadap kakitangan kesihatan didapati membuli, kata ketua pemikir dasar kesihatan.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Khalib berkata, hukuman hendaklah setimpal dengan tahap kesalahan dilakukan.

“Tindakan dikenakan termasuk penurunan pangkat, penggantungan, dan penyingkiran daripada perkhidmatan,” katanya kepada FMT.

Pada Isnin, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya akan mengeluarkan garis panduan kepada kakitangan bagaimana menguruskan pembulian di tempat kerja.

Garis panduan itu demi meningkatkan kesedaran terhadap buli di tempat kerja, selain berperanan langkah pencegahan, dan prosedur laporan.

Dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, Dzulkefly berkata kementerian tidak akan sesekali bertolak ansur perbuatan buli.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Alumni Manipal Malaysia, Dr Koh Kar Chai, berkata sistem pemantauan lebih mantap penting untuk memastikan garis panduan diterima pakai di seluruh kementerian dan di semua kemudahannya.

Katanya, badan bebas menerima dan menyiasat aduan buli mesti dibentuk.

“Isu buli tempat kerja berlarutan sekian lama dengan menteri demi menteri cuba menanganinya. Apakah kita berani berharap akan melihat kemajuan kali ini?” katanya.

Beliau maklum wujud saluran dikendalikan Kementerian Kesihatan dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) untuk aduan buli, bagaimanapun ia tidak digunakan sepenuhnya.

Koh, bekas presiden MMA, berkata kakitangan kesihatan mungkin keberatan melapor kes buli kerana takut kesan susulan.

Perkara itu dipersetujui Azrul sambil menekankan keperluan pemberi maklumat dan aduan diberikan perlindungan sewajarnya. Katanya, persepsi dalam kalangan ramai pekerja kesihatan adalah sistem sedia ada “melindungi pembuli dan pendera”.

Pada masa sama, pihak dituduh pembuli juga perlu diberikan peluang adil mempertahankan diri terhadap dakwaan dikenakan.

Dalam kaji selidik MMA tahun lalu, mendedahkan sehingga 40% daripada 728 doktor di sektor awam dan swasta seluruh negara pernah berdepan beberapa bentuk pembulian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.