
Justeru, Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat Wan Rohimi Wan Daud berpandangan status Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping), adalah muktamad dan tidak boleh dirayu semula.
Menurutnya, pindaan Perlembagaan itu diluluskan pada Muktamar PAS kali ke-70 pada 14 Sept 2024 dan mula berkuat kuasa pada 8 Ogos tahun lalu selepas mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan.
“Antara inti pati utama pindaan itu ialah bagi menangani tindakan ‘lompat parti atau tindakan seumpamanya’ dengan memperkenalkan Fasal 15A iaitu ‘Keberhentian Ahli Badan Perundangan’.
“Fasal 15A(1) menetapkan keahlian seseorang ahli yang dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Adun akan terhenti serta-merta jika menyertai atau menyatakan sokongan kepada pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti, atau melakukan tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, Fasal 15A(4) turut menyatakan setiausaha agung PAS perlu mengeluarkan notis keberhentian dan keputusan itu adalah muktamad.
“Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 24 Dis 2025 membuat ketetapan di bawah Fasal 15A(1)(b) dan (d) berdasarkan pengakuan tiga bekas Adun itu yang mengakui menandatangani akuan sumpah (SD) pada 19 Dis 2025 untuk menarik sokongan terhadap bekas menteri besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
“Dengan pengakuan tiga mantan Adun itu sendiri, telah lengkap Fasal Keberhentian Ahli Badan Perundangan PAS melalui Fasal 15A(1)(b) dan (d) tanpa perlu dimulakan prosiding tatatertib,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Rohimi berkata tiga Adun terbabit masih boleh memohon semula menjadi ahli biasa sekiranya masih ingin bersama PAS.
“Mudah sahaja – isi borang PAS, mohon untuk menjadi ahli semula, samada melalui cawangan ataupun daftar terus dengan Pejabat Agung.
“Terserah kepada pertimbangan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk menerima kemasukan semula sebagai ahli biasa,” katanya.