Program Sejati Madani dilaksana di semua kampung, kata Anwar

Program Sejati Madani dilaksana di semua kampung, kata Anwar

Perdana menteri berkata program menerusi peruntukan dalam Belanjawan 2025 itu bertujuan meningkatkan ekonomi kampung.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata program SejaTi Madani ini umpama satu tanggungjawab dan cabaran langsung kepada orang kampung untuk menggunakan peruntukan antara RM50,000 hingga RM100,000. (Gambar Bernama)
KUALA KANGSAR:
Pelaksanaan Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) bagi mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi akan melibatkan semua kampung di seluruh negara tanpa ada yang terkecuali, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata meskipun tidak dapat dilaksanakan secara serentak, namun pelaksanaannya diserahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk menyusun program menerusi peruntukan yang diberikan dalam Belanjawan 2025 bagi meningkatkan ekonomi perkampungan.

“(Menerusi) SejaTi Madani ini, kita seolah-olah bagi satu tanggungjawab dan cabaran langsung kepada orang kampung (dengan peruntukan) paling minimum RM50,000 dan maksimum RM100,000. Imam, ketua kampung, penghulu, persatuan belia, wanita dan jawatankuasa masjid, kamu duduklah runding betul-betul

“Saya bagi dana, kamu putuskan apa yang nak buat bagi kepentingan orang kampung. Ada yang beli traktor, ada yang beli bot, tetapi keputusan itu bukan keputusan seorang (namun) keputusan wakil masyarakat kampung yang boleh menghidupkan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Padang Rengas di Dataran Arena Square Pekan Isnin, Padang Rengas.

Justeru Anwar yang juga menteri kewangan meminta masyarakat kampung membuat keputusan dengan sebaik-baiknya kerana peruntukan keseluruhan RM1 bilion yang disediakan bagi inisiatif itu pada Belanjawan 2025 adalah amanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.