Anwar seru anak muda tolak politik perkauman sempit

Anwar seru anak muda tolak politik perkauman sempit

Masa depan negara tergantung kepada kesediaan golongan belia tolak politik picisan yang diamalkan oleh generasi terdahulu, kata perdana menteri.

PM Anwar Ibrahim berkata, walaupun kaum Melayu penduduk majoriti, namun Malaysia tetap negara berbilang kaum yang perlukan semangat perpaduan lebih kukuh, terutamanya dalam kalangan belia. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru generasi muda agar menolak politik perkauman sempit dan bangkit sebagai kekuatan baharu yang melihat masalah negara sebagai tanggungjawab bersama tanpa mengira kaum.

Anwar berkata, kaum Melayu merupakan penduduk majoriti namun Malaysia tetap negara berbilang kaum yang memerlukan semangat perpaduan lebih kukuh, khususnya dalam kalangan anak muda.

“Selalu saya tekankan (kepada anak muda), masa depan itu tergantung kepada kesediaan mereka untuk menolak tembok perkauman sempit oleh bapa-bapa, ibu-ibu kita dalam politik picisan.

“Bangkit sebagai satu kekuatan baharu. Kuatkan semangat kita bahawa masalah negara ini, masalah India, Melayu, Cina, Iban, Kadazan, masalah kita bersama dan selesaikan cara bersama,” katanya selepas majlis ramah mesra bersama mahasiswa berbangsa India di Universiti Malaya.

Anwar turut memberi amaran mengenai kebangkitan sentimen pelampau berasaskan kaum di beberapa negara lain, dan mengingatkan bahawa Malaysia tidak boleh terjerumus dalam politik kebencian.

“Saya beri jaminan yang jelas dan tegas bahawa kerajaan ini, walau apapun cabaran yang dihadapi, tidak akan sekali-kali mengingkari janji kita bahawa setiap seorang rakyat Malaysia, tanpa mengira komposisi kaum atau latar belakang, akan diberikan perlindungan dan sokongan sepenuhnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.