
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata langkah itu mencerminkan usaha pembaharuan institusi bagi memastikan prinsip semak dan imbang serta pengehadan kuasa dapat dilaksanakan dalam sistem demokrasi.
“Sebab itulah perdana menteri ke-10, Anwar, wajar dihormati kerana beliau sendiri menawarkan untuk mengehadkan tempoh jawatannya.
“Maksudnya, kalau tempohnya 10 tahun, sekarang ini beliau sudah pun memegang jawatan itu selama tiga tahun. Jadi katakanlah beliau bertanding, contoh pilihan raya tahun ini… beliau boleh jadi perdana menteri lagi tujuh tahun,” katanya pada sesi soal jawab bersama peserta Town Hall Kerangka Akauntabiliti Madani.
Bagi merealisasikan agenda itu, Azalina berkata semua Ahli Parlimen perlu menyokong Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun apabila RUU itu dibentangkan semula di Dewan Rakyat pada Jun.
Meluahkan kekecewaan terhadap ketidakhadiran Ahli Parlimen ketika proses pengundian di Parlimen hingga tidak memperoleh sokongan 2/3 ahli Dewan Rakyat, Azalina berkata ia turut berpunca daripada ketiadaan beberapa Ahli Parlimen, termasuk dua daripada Barisan Nasional dan seorang daripada Pakatan Harapan.
Beliau berkata Ahli Parlimen, termasuk yang tidak bersetuju dengan mana-mana RUU, masih bertanggungjawab untuk menghadiri persidangan Parlimen bagi memastikan pendirian atau bantahan mereka direkodkan secara rasmi.
Pindaan RUU tersebut perlu dilaksanakan bagi mengelakkan pemusatan kuasa politik yang berlebihan, katanya.
Pada Mac lepas, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun tidak memperoleh sokongan 2/3 ahli Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul dilaporkan berkata keputusan undi belah bahagian menyaksikan seramai 146 Ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi, manakala pindaan Perlembagaan berkenaan memerlukan sekurang-kurangnya 148 undi bagi mencapai majoriti dua pertiga untuk diluluskan.