Tengku Hassanal mahu Pahang diberi layanan, pertimbangan saksama

Tengku Hassanal mahu Pahang diberi layanan, pertimbangan saksama

Tengku Mahkota Pahang bertitah baginda maklum kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung peruntukan kerajaan persekutuan kepada negeri itu.

Tengku Hassanal Ibrahim
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah semasa merasmikan istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal ke-5 DUN Pahang ke-15 semalam mempersoalkan peruntukan kerajaan persekutuan kepada negerinya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sekali lagi menegaskan supaya Pahang diberikan layanan dan pertimbangan yang saksama berhubung peruntukan kerajaan persekutuan kepada negeri itu.

Tengku Hassanal dalam satu kenyataan malam tadi berkata baginda juga maklum dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai perkara itu.

“Saya mengambil maklum kenyataan perdana menteri. Sehubungan dengan itu, saya ingin menegaskan pendirian agar Pahang diberikan layanan serta peertimbangan yang saksama,” titah baginda.

Dalam kenyataan itu baginda turut menyelitkan serangkap pantun berbunyi:

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Anwar semalam berkata beliau akan meminta Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung peruntukan kerajaan persekutuan kepada Pahang, untuk dikemukakan kepada Tengku Mahkota Pahang.

Tengku Hassanal juga akan diberikan penerangan berkaitan kedudukan makroekonomi negara, tekanan ekonomi semasa dan isu pembaziran yang masih berlaku dalam pelbagai sektor.

“Saya hormat Tengku Mahkota… peruntukan kepada Pahang itu besar, bukan kecil. Saya akan minta menteri kewangan II menulis dan memberikan penjelasan keseluruhannya mengenai peruntukan untuk Pahang serta keadaan ekonomi semasa.

“Sebagai rakyat, kita hormati dan kita teliti dengan baik,” katanya mengulas teguran Tengku Hassanal.

Tengku Mahkota Pahang semasa merasmikan istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal ke-5 DUN Pahang ke-15 mempersoalkan peruntukan kerajaan persekutuan kepada negerinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.