
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kutipan itu akan dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan dengan jumlah agihan kepada kerajaan Johor RM5 daripada RM20 dikutip daripada setiap kenderaan.
Katanya, Kementerian Pengangkutan juga akan berunding dengan Kementerian Kewangan supaya peruntukan dari kutipan RC itu dikembalikan bagi pengangkutan awam di Johor.
“Sehingga September 2024, setiap hari dianggarkan sebanyak 89,818 perjalanan (trip) bagi pelbagai kenderaan merentasi sempadan Johor-Singapura melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Bangunan Sultan Ismail (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
“Untuk kategori kenderaan daripada Singapura pula, setakat bulan September 2024, sejumlah 4,397,229 kenderaan telah memasuki kedua-dua pintu masuk Johor dan Singapura dengan kutipan ‘road charge’ sebanyak RM87,944,580 Secara puratanya, 16,107 kenderaan memasuki Malaysia dari Singapura setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) berkait purata jumlah kenderaan merentasi sempadan Johor-Singapura setiap hari.