Stesen KTM Butterworth dinaik taraf dengan peruntukan RM30 juta

Stesen KTM Butterworth dinaik taraf dengan peruntukan RM30 juta

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata projek terbabit sudah dirancang sejak awal bagi meningkatkan integrasi pengangkutan.

Loke Siew Fook berkata kerajaan berhasrat menjadikan stesen Butterworth, Terminal Feri Butterworth dan Penang Sentral sebagai hab pengangkutan awam bersepadu untuk memudahkan penumpang. (Gambar Bernama)
BUTTERWORTH:
Stesen KTM Butterworth akan dinaiktaraf menerusi peruntukan RM30 juta, dengan pelantikan kontraktor dijadualkan bulan depan, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Loke, yang juga setiausaha agung DAP, berkata projek terbabit telah dirancang sejak awal dan tidak mempunyai kaitan dengan insiden gerabak komuter tergelincir di penghujung landasan di stesen berkenaan semalam.

“Matlamat kita untuk menjadikan Stesen Butterworth, Terminal Feri Butterworth dan Penang Sentral sebagai hab pengangkutan awam bersepadu, di mana pelbagai mod pengangkutan bertemu di kawasan yang sama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen DAP Pulau Pinang.

Beliau menambah integrasi itu akan membolehkan penumpang membuat pertukaran antara perkhidmatan ETS dan Komuter lebih mudah, termasuk perkhidmatan LRT Pulau Pinang pada masa akan datang.

“Sebagai contoh, seseorang yang menaiki ETS dari Kuala Lumpur atau Johor Bahru ke Pulau Pinang akan mempunyai beberapa pilihan sebaik tiba di Butterworth – sama ada menaiki feri ke pulau atau, pada masa akan datang, menaiki LRT,” katanya.

Mengenai jajaran LRT, Loke berkata laluan ke Penang Sentral sudah termasuk dalam pelan sedia ada, manakala sebarang sambungan tambahan selepas itu memerlukan kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh.

Dalam insiden semalam, tiada penumpang berada di dalam enam gerabak yang tergelincir itu.

Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) berkata pasukan teknikalnya tiba di lokasi sejurus selepas kejadian berlaku. Kerja-kerja mengalihkan gerabak sedang dijalankan bagi memastikan keselamatan kawasan dan kelancaran operasi di stesen tersebut.

KTMB turut memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Syarikat itu berkata perkhidmatan tren di laluan berkenaan disambung semula sekitar jam 7.51 malam semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.