Arul Kanda serah kepada pihak berkuasa susulan laporan negatif berkait 1MDB

Arul Kanda serah kepada pihak berkuasa susulan laporan negatif berkait 1MDB

Bekas CEO 1MDB itu kata beliau serahkan kepada polis, SPRM, JAN, dan PAC untuk siasat salah laku dalam 1MDB.

arul kanda
Bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, kata beliau tidak mengarahkan siasatan dijalankan susulan penerbitan empat laporan berita di dalam dan luar negara antara Februari dan April 2015.
KUALA LUMPUR:
Bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, beritahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk bertindak atas laporan negatif dalam media tempatan dan asing mengenai keadaan syarikat itu.

Dalam keterangan membela diri terhadap saman sivil oleh 1MDB, Arul berkata beliau ada membaca beberapa laporan selepas menyertai syarikat itu pada Jan 2015.

Arul berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam 1MDB, Lim Chee Wee, berhubung dana 1MDB sebanyak lebih USD700 juta yang masuk ke akaun Good Star Ltd, iaitu entiti milik ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.

1MDB membuat perjanjian dengan Petro Saudi International Ltd yang mana 1MDB dikehendaki menyumbang USD1 bilion, iaitu bersamaan 40% daripada ekuiti, ke dalam suatu projek usaha sama.

Bagaimanapun, hanya USD300 juta dibayar kepada usaha sama itu, manakala baki USD700 juta dilencongkan ke Good Star.

Lim merujuk Arul kepada empat laporan dalam Sarawak Report, The Edge, South China Morning Post, dan Euromoney yang diterbitkan antara Februari dan April 2015.

Arul berkata beliau tidak mengarahkan pihak 1MDB menjalankan sebarang siasatan, atau membuat laporan polis, atau mendapatkan khidmat akauntan forensik, atau menghubungi peguam tempatan atau luar negara, selepas membaca artikel-artikel berkenaan.

Arul berkata beliau juga menyedari video oleh bekas Ahli Parlimen Tony Pua dan kenyataan oleh pemimpin PKR, Rafizi Ramli, berhubung pelaburan asing 1MDB.

Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman yang menuduh Arul dan bekas pengerusinya, Irwan Serigar Abdullah, melakukan pecah amanah dan konspirasi, yang membawa kepada dakwaan kerugian USD1.83 bilion, dikaitkan dengan pelaburan 1MDB dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd.

Arul membela diri dengan berkata beliau menyerahkan kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Audit Negara, dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara untuk menyiasat salah laku dalam 1MDB.

Sanjay Mohan dan Adam Lee mewakili Arul selaku peguam, manakala Lavinia Kumaraendran dan Mavin Thillainathan mewakili Irwan. Brendan Navin Siva dan Raphael Kok membantu Lim.

Perbicaraan di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung pada 3 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.