
Ahli ekonomi berkata ini dapat dicapai melalui kesan pengganda daripada perbelanjaan kerajaan yang disasarkan kepada sektor strategik, di mana setiap ringgit dibelanjakan mencetuskan rantaian aktiviti ekonomi melebihi perbelanjaan asal.
Kesan pengganda merujuk impak tidak seimbang perbelanjaan kerajaan terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan pertumbuhan ekonomi.

Pengarah Penyelidikan Bait Al-Amanah, Benedict Weerasena berkata, perbelanjaan kerajaan melalui belanjawan negara mempunyai kesan pengganda ketara terhadap ekonomi.
“Impaknya terhadap pertumbuhan menjadi lebih kuat apabila langkah perbelanjaan baharu disokong penjanaan hasil yang kukuh.
“Dalam Belanjawan 2024, kerajaan dilihat menyasarkan sektor yang biasanya menghasilkan kesan pengganda tinggi, seperti pembangunan infrastruktur serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Pelaburan dalam infrastruktur, sebagai contoh, bukan saja merangsang aktiviti pembinaan, tetapi juga meningkatkan produktiviti dalam jangka panjang dengan memudahkan perdagangan dan mobiliti,” katanya kepada FMT.
Di bawah Belanjawan 2024, RM27 bilion diperuntukkan untuk projek infrastruktur dan RM24.7 bilion bagi untuk projek perumahan rakyat. Kerajaan juga memperuntukkan RM20 bilion dalam bentuk jaminan pinjaman kepada PKS bagi menyokong perniagaan kecil.
Weerasena berkata, sokongan kerajaan terhadap PKS sering kali diterjemahkan kepada peningkatan pekerjaan dan inovasi, memandangkan PKS tulang belakang ekonomi negara.
“Pelaburan bersasar ini berkemungkinan mencipta kitaran maklum balas positif yang merangsang pertumbuhan ekonomi lebih luas.”
Beliau berkata perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia merangkumi 97.4% daripada perniagaan dan 48% daripada pekerjaan, namun hanya menyumbang 38% kepada KDNK.
“Ini menunjukkan potensi besar yang belum diterokai untuk pertumbuhan.”

Ahli ekonomi Niaz Asadullah turut bersetuju Belanjawan 2024 meletakkan asas kukuh untuk mencapai kesan pengganda dalam sektor utama.
Beliau berkata peruntukan besar diberikan kepada pembangunan infrastruktur, tenaga dan PKS, yang penting untuk merangsang pertumbuhan jangka panjang.
“Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), sebagai contoh, dijangka mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi hijau dengan menggerakkan pelaburan sektor swasta,” katanya kepada FMT.
“Ini membantu mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi dan bergaji lumayan, terutama dalam industri pertumbuhan tinggi seperti tenaga boleh diperbaharui serta menyokong pembangunan ekonomi lebih luas,” kata Niaz yang juga ketua Pertubuhan Buruh Global di Asia Tenggara dan felo bersekutu di Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya.
Beliau mendapati projek diterajui sektor swasta bernilai RM60.7 bilion di bawah NETR “boleh menjadi pengubah keadaan”, meletakkan Malaysia sebagai hab tenaga boleh diperbaharui, memacu inovasi dalam teknologi tenaga bersih dan mewujudkan sekitar 80,000 pekerjaan.
Faktor ekonomi Madani
Niaz percaya pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjaya mengintegrasikan prinsip ekonomi Madani ke dalam perancangan belanjawan negara.
Beliau berkata kerangka Madani menekankan penstrukturan semula untuk meningkatkan daya saing negara dan memupuk pengagihan kekayaan saksama.
“Saya menjangkakan Belanjawan 2025 akan terus menyokong matlamat ini dengan menambah peruntukan program yang menyokong pertumbuhan aktiviti ekonomi kompleks seperti inovasi digital, automasi dan kecerdasan buatan (AI).”
Menurutnya strategi ini juga penting untuk meningkatkan produktiviti buruh dan mengangkat Malaysia ke rantaian nilai lebih tinggi.
“Belanjawan ini akan memfokuskan pertumbuhan mampan dan inklusif, terutamanya melalui digitalisasi dan sokongan untuk PMKS, selari misi ekonomi Madani untuk memastikan kemakmuran ekonomi dinikmati semua rakyat Malaysia.
“Pendekatan ini bertujuan mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi, meningkatkan perlindungan sosial serta memacu transformasi ekonomi melalui teknologi dan digitalisasi,” katanya.
Harapan Belanjawan 2025
Untuk Belanjawan 2025, Weerasena berkata kerajaan harus memperuntukkan dana tambahan bagi memperkukuh ekonomi digital.
Pelaburan dalam infrastruktur digital dan teknologi seperti AI, data raya serta teknologi kewangan (fintech) akan membantu Malaysia kekal berdaya saing dalam landskap global sentiasa berubah, katanya.
Kerajaan juga perlu meneruskan sokongan komprehensif untuk membimbing PMKS dari fasa permulaan sehingga fasa sedia eksport.
“Dengan cara ini, PMKS boleh berkembang secara mampan dan menyumbang lebih besar kepada kemakmuran ekonomi Malaysia.
“Selain itu, memperluaskan geran pendigitalan penting untuk membantu PKS menerima pakai sistem pengurusan kewangan digital yang penting. Ini akan mempersiapkan mereka untuk mandat e-invois pada 2025, memastikan mereka kekal berdaya saing dan patuh semasa ekonomi berkembang ke arah integrasi digital lebih besar.”