Mesin layan diri IPR ubah kehidupan keluarga OKU

Mesin layan diri IPR ubah kehidupan keluarga OKU

Normaladiana Mohd Yazal dan suaminya meraih pendapatan sekitar RM1,500 hingga RM3,000 sebulan menerusi program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Normaladiana Mohd Yazal mengisi makanan pada mesin layan diri yang ditempatkan di asrama di Universiti Malaya (UM).
KUALA LUMPUR:
Normaladiana Mohd Yazal sentiasa mahu membantu suaminya Hairul Affendi Ramli menambah pendapatan sejak mereka mendirikan rumah tangga 13 tahun lalu, namun kecacatan fizikal dialaminya sejak kecil membataskan pergerakannya.

Cabaran hidup semakin besar apabila Covid-19 menyebabkan ibu kepada dua cahaya mata itu mencari jalan lain menambah pendapatan dengan berniaga kuih bagi membantu suaminya yang bekerja sebagai pekerja pembersihan.

Kini rezeki wanita berusia 37 tahun itu semakin bertambah apabila menyertai Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), iaitu program di bawah Kementerian Ekonomi yang membantu mengubah kehidupan B40 dengan perniagaan makanan menerusi mesin layan diri.

Menurutnya, pada mulanya mesin layan dirinya yang antaranya menjual sanwic, kek, spageti, air dan snek ditempatkan di KL Sentral yang menjadi hab pengangkutan awam sekali gus mampu menarik ramai pelanggan.

Normaladiana sentiasa memastikan makanan disediakannya sedap, bersih dan mengikut citarasa pelanggannya.

“Jualan di sana laju (cepat habis) tetapi saya tak mampu uruskan kerana sukar bergerak selain tiada kenderaan…jadi minta pindah ke kawasan dekat rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi.

“Kini pindah ke blok D Kolej Kediaman ke-12 (Raja Dr Nazrin Shah) Universiti Malaya (UM), mudah sikit nak uruskan…ramai pelajar beli makanan terutama dari sebelah petang hingga malam (selepas waktu kuliah),” kata pemegang kad orang kurang upaya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada FMT.

Normaladiana bersyukur kerana program di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) itu membantunya meraih pendapatan sekitar RM1,500 hingga RM3,000 sebulan yang dapat membantu kehidupan mereka sekeluarga.

“Alhamdulillah pendapatan selesa, kami juga tidak terikat dengan mana-mana syarikat sebaliknya operasi ikut kemampuan,” katanya.

Menurut Normaladiana, penyertaannya dalam program itu juga mendidiknya cara menguruskan perniagaan dengan pemantauan pengurusan aliran kewangan selain bantuan lain.

Pasangan OKU bersama menguruskan mesin makanan layan diri yang dipinjamkan oleh Kementerian Ekonomi di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

“Ketika mahu berpindah mereka yang bantu hantar mesin ke tempat baharu…bila ada masalah sentiasa dibantu dan ambil berat.

“Bersyukur sangat dapat sertai program INSAN, terima kasih kerajaan kerana beri kami peluang ubah kehidupan guna mesin ini,” katanya.

Kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk menjayakan IPR yang turut menawarkan projek Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) selain INSAN bagi membantu golongan kurang berkemampuan mengubah kehidupan.

Tekan di sini untuk mengetahui lebih lanjut dan menyertai IPR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.