Kerajaan belum sedia laksana undang-undang kekayaan tak dapat dijelaskan

Kerajaan belum sedia laksana undang-undang kekayaan tak dapat dijelaskan

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan sifatkan cadangan itu bernas, namun perlu ambil kira kesan tidak diingini.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan akan mengkaji terlebih dahulu dan memahami isu-isu berkaitan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan masih belum bersedia laksana perintah kekayaan tidak dapat dijelaskan (UWO) meskipun menerima cadangan untuk diperkenalkan.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, berkata namun kerajaan akan mengkaji isu berkaitan terlebih dahulu sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.

“Kita akan mengkaji idea-idea yang bernas sebelum pelaksanaan dan saya terima cadangan untuk melihatnya, dan kita akan mengkaji terlebih dahulu dan memahami isu-isu (berkaitan) kerana kita tidak mahu kesan yang tidak diingini,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Percukaian Kebangsaan 2025, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dilaporkan berkata Malaysia memerlukan UWO agar semua golongan elit bertanggungjawab dengan sumber kekayaan mereka.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata kerajaan juga akan meneliti usaha memperkenalkan pembayaran pencen secara bulanan sebagai sebahagian inisiatif penambahbaikan sistem saraan negara.

Beliau berkata, kajian menyeluruh perlu dilaksanakan supaya kaedah pelaksanaan yang lebih praktikal dapat diperhalusi.

“Masalah yang kita lihat sekarang adalah apabila seseorang mendapat akses penuh, ramai yang cepat menghabiskan wang itu. Jadi, apabila mereka sampai ke usia tua, mereka tidak mempunyai simpanan mencukupi.

“Saya percaya dalam kajian itu, kita akan melihat pelbagai kaedah pelaksanaan yang lebih praktikal. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, inisiatif ini adalah untuk mereka yang baru menyertai Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bukan untuk mereka yang sudah berada dalam sistem,” katanya.

Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi pada 31 Julai, kerajaan akan meneroka mekanisme baharu untuk menjamin pendapatan berterusan selepas bersara melalui pengasingan caruman KWSP kepada dua komponen utama iaitu simpanan persaraan dan pencen bulanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.