
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata tiga lelaki berusia 13 hingga 20 tahun itu yang belajar di pusat tahfiz sama dengan mangsa, ditahan di rumah mereka kelmarin.
“Suspek berusia 20 tahun direman sehari, manakala suspek kedua dan ketiga tidak direman kerana bawah umur.
“Ketiga-tiga suspek dibebaskan dengan jaminan polis pada 7 malam selepas keterangan mereka dirakam,” katanya menurut Harian Metro.
Menurutnya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Sebelum ini, media melaporkan empat pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah berusia 13 hingga 14 tahun yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu, ditemui orang awam sedang berjalan di sekitar kawasan Kampung Bangi pada 11.58 malam Khamis lalu.
Semalam, Rusdi dilaporkan berkata, atas persetujuan keluarga, empat remaja itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan yang menemui kesan kecederaan dipercayai berlaku ketika mangsa berada di pusat tahfiz itu.
Katanya, mereka dipercayai menjadi mangsa dera dan seksual susulan kesan kecederaan pada badan mereka.