Kematian pelajar tahfiz: AGC tunggu laporan siasatan semula

Kematian pelajar tahfiz: AGC tunggu laporan siasatan semula

Peguam Negara Dusuki Mokhtar berkata, pihaknya akan teliti laporan penuh siasatan semula oleh polis setelah dilengkapkan.

Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman
Pelajar Tingkatan Empat Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman ditemukan meninggal dunia di sekolah tahfiznya pada 14 Dis 2013. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara (AGC) masih belum menerima hasil siasatan semula kematian pelajar tahfiz Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman pada 2013.

Peguam Negara Dusuki Mokhtar berkata, sekiranya sudah lengkap, jabatan itu akan meneliti hasil siasatan bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah atau lain-lain berhubung kematian pelajar Tingkatan Empat itu.

“Kita akan mohon hasil siasatan dikemukakan pihak polis jika semuanya sudah disiapkan atau dilengkapkan.

“Namun arahan siasatan lanjut sentiasa diberikan dari semasa ke semasa bagi melengkapkan siasatan kes,” katanya lapor Harian Metro.

Pada 17 Nov lepas, dilaporkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keterangan daripada 68 saksi telah diambil sebagai sebahagian siasatan semula kes kematian Wan Ahmad Faris.

Katanya, siasatan semula dilancarkan bagi memastikan ketelusan penuh serta pematuhan prosedur operasi standard untuk menangani kebimbangan keluarga mangsa dan orang awam.

Mayat Wan Ahmad Faris ditemukan oleh penyelia asramanya pada 14 Dis 2013. Hasil bedah siasat mengklasifikasikannya sebagai kematian mengejut, tiada unsur jenayah.

Bagaimanapun, menerusi inkues, Mahkamah Koroner Kota Bharu pada Jun 2016 memutuskan remaja itu telah dibunuh oleh individu tidak dikenal pasti.

Ibu bapa mangsa, Wan Abdul Rahman Wan Yaacub, 73, dan Ruhani Hussin, 69, sebelum ini dilaporkan berkata, mereka dimaklumkan polis menerusi surat bertarikh 31 Julai 2024 bahawa kes itu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) sejak 7 Sept 2020.

Menurut makluman tersebut, kes diklasifikasikan sebagai NFA kerana tiada saksi yang dapat mengenal pasti suspek dan keterangan yang ada berbentuk andaian semata-mata.

Ibu bapa mangsa seterusnya membuat rayuan kepada peguam negara agar kes tersebut dibuka semula, selain turut menghantar surat rayuan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada November tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.