
Mereka menyertai himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa, yang diadakan genap setahun Taufan Al-Aqsa yang dilancarkan oleh Hamas pada 7 Okt 2023.
Dari Masjid KLCC mereka berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, mengibarkan bendera Palestin dan membawa plakad sambil melaungkan slogan bebaskan Palestin.

Antara pemimpin politik utama yang kelihatan pada himpunan itu ialah Presiden PAS Hadi Awang dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man serta Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.
Turut hadir Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, dan aktivis Hishamuddin Rais serta Tian Chua dari Sekretariat Solidariti Palestin.
Ditemui pemberita, Hadi berkata pihaknya akan terus membawa isu penindasan rakyat Palestin dan menekan kerajaan AS agar berhenti menghantar senjata kepada Israel.
Beliau menegaskan bahawa di sebalik perbezaan politik antara parti pembangkang dan kerajaan, kedua-duanya bersetuju untuk tidak mengiktiraf Israel.