
Sabtu lalu 14 Jun 2025 telah berlangsung satu perarakan raksasa tentera di Washington DC bagi menyambut ulang tahun tentera Amerika Syarikat yang ke 250. Kali terakhir perarakan diadakan ialah pada 1991 semasa George HW Bush menjadi presiden. Ia diadakan untuk menyambut the US veterans pulang dari operasi Desert Storm.
Army parade kali ini jauh berbeza. Ia lebih besar. Bilangan anggota tentera yang mengambil bahagian lebih ramai yakni tidak kurang 6,000 orang dengan segala peralatan hebat termasuk kereta kebal M1 Abbrams seberat 60 tan setiap satu. Juga 62 pesawat. Semuanya dipertonton bukan sahaja kepada AS tetapi dunia.
Bagaimana pun ia diadakan semasa ratusan protes anti-Donald Trump tercetus di seluruh AS bersabit pelbagai isu. Kata penyampai berita CNN Brianna Keilar “it is very hard for some people to separate the presidential politics and protests from the parade and its stated purpose which is to celebrate the anniversary of the United States army”.
The US army kata beliau ditubuhkan pada 1775 membuatnya lebih tua daripada AS sendiri. Lantas Sabtu lalu, kata Keilar, ialah peristiwa besar dengan hak tersendiri untuk “the institution which was key to the founding of our nation and its survival”.
Namun ribuan rakyat AS turun ke jalan raya untuk membantah. Sungguhnya aneh ini dilakukan oleh satu masyarakat yang sememangnya menghormati dan menyanjung tinggi anggota tenteranya.
Demonstrasi sebenarnya ditujukan kepada Presiden Trump yang para demonstran dakwa hijack hari ulang tahun tentera untuk mengagungkan diri sendiri, lantas demonstrasi diberi nama ‘No Kings‘. Jelas mereka melihat Trump berlagak raja yang menggunakan perarakan tentera sebagai sebahagian upacara sambutan hari kelahirannya yang ke 79 tahun. Bagaimanapun kata White House ‘secara kebetulan’ tarikh lahir Trump sama dengan hari perarakan diadakan.
Mungkin Trump mahu menunjukan kepada dunia betapa gagahnya tentera negaranya, tetapi bagi ribuan yang memprotes perarakan itu tetap berbaur politik dan melahir kebimbangan akan militarisation of domestic politics.
Mereka juga melihat perarakan itu suatu pembaziran kerana ia menelan belanja USD45 juta. Kerosakan jalan raya yang terjadi setelah dilalui kereta kebal yang amat berat memerlukan USD16 juta untuk dibaiki. Bagi mereka jumlah wang sebegitu besar harus digunakan untuk rakyat ketika ramai yang dicengkam kesusahan.
Perlu dikatakan AS tidak pernah ada upacara menyambut hari lahir presiden. Pada pandangan saya Trump sudah lama berlagak bagai raja dalam sebuah negara republik.
Pada Mei 2024, Trump didapati bersalah oleh mahkamah di New York atas 34 tuduhan melindungi perbuatan membayar USD130,000 kepada bintang porno Stormy Daniels untuk mengelak wanita itu menjaja kisahnya ketika tempoh pilihan raya presiden 2016, dan meletakkkan ia sebagai perbelanjaan perniagaan. Bagaimanapun beliau masih boleh bertanding pilihan raya presiden pada Novmerber 2024 dan menang untuk jadi presiden kali kedua.
Beliau kemudian dijatuhi hukuman alternatif dikenali sebagai pelepasan tanpa syarat sekali gus membebaskannya daripada sebarang hukuman penjara, denda atau parol untuk sabitan kesalahannya. Hukuman itu dijatuhi beberapa hari sebelum Trump angkat sumpah sebagai presiden 20 Januari lalu. Oleh itu beliau menjadi penjenayah pertama memegang jawatan presiden AS.
Sejak menjadi presiden bermula 20 Januari tahun ini Trump mengambil pelbagai langkah yang dikatakan melanggar perlembagaan. Terbaharu apabila beliau menghantar tentera ke Los Angeles di California sebagai reaksi terhadap demonstrasi jalanan berhubung dasar imigresen beliau yang agresif, atau bagi sesetengah orang terlampau agresif. California memfail saman terhadap pentadbiran Trump bagi menghalang penempatan anggota Pengawal Persekutuan atau marin dengan hujah tindakan itu melanggar undang-undang persekutuan serta kedaulatan negeri.
Tidak lama selepas itu Gabenor California Gavin Newsom berkata beliau dimaklumkan Trump mengerahkan tambahan 2,000 anggota Pengawal Persekutuan ke Los Angeles.
Bolehkah disimpulkan Trump beraja di mata bersultan di hati? Banyak lagi tindakan yang diambil seakan sesuka hati. Mungkinkah ada laungan di AS — hail the king, long live the king?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.