
Namun, tahukah anda bahawa kumpulan ini juga pernah membuat persembahan pada perarakan Hari Kebangsaan lebih tiga dekad lalu?
Sri Dasmesh Pipe Band, kumpulan pancaragam begpipe Sikh terbesar di dunia, ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 1986 hasil ilham dua beradik, Harvinder dan Sukdev Singh, sebagai inisiatif komuniti untuk golongan belia.
Bercakap kepada FMT Lifestyle, Harvinder menjelaskan matlamat utama penubuhan kumpulan itu adalah untuk memupuk disiplin, menyediakan ruang selamat untuk anak muda, serta memberi peluang mereka menjelajah ke seluruh dunia.
Pada peringkat awal, mereka hanya membuat persembahan di acara komuniti Sikh tempatan sebelum mula mendapat pengiktirafan lebih luas.
“Pengembaraan pertama kami ke luar negara adalah pada 1989, apabila dijemput ke Singapura untuk upacara pembukaan pusat gurdwara yang turut dihadiri Lee Kuan Yew.
“Kami membuat persembahan besar pada acara itu, dan pada 1990 kami dijemput menyertai perarakan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka,” kata Harvinder.

Mereka menyertai perarakan itu di bawah Pertubuhan Belia Sikh Malaysia (Sikh Naujawan Sabha Malaysia).
Menurut Harvinder, selain latihan sendiri, mereka turut menjalani empat hari sesi raptai sebelum perarakan bermula – pengalaman yang tidak dapat dilupakan mereka.
“Ia memberi inspirasi yang sangat besar dan kami berasa sangat bangga menjadi rakyat Malaysia. Ketika itu Dr Mahathir adalah perdana menteri, semua menteri hadir, dan kami berpeluang berarak di hadapan mereka.
“Saya masih ingat sambutan dari pentas dan orang ramai yang sangat bersemangat. Saya rasa kami semua akan terus mengingati pengalaman itu.”
Ketika itu Harvinder bertindak sebagai ‘pipe major’ yang menyelaras muzik kumpulan, manakala Sukdev pula menjadi ‘drum major’ yang mengetuai barisan dari hadapan.

“Begpipe adalah salah satu instrumen paling sukar untuk dimainkan di dunia. Ia boleh mengambil masa enam bulan hingga setahun setengah sebelum anda benar-benar yakin untuk bermain begpipe,” jelas Harvinder.
Beliau juga mengakui pada awal pembabitan mutu muzik mereka agak jauh ketinggalan berbanding standard mereka hari ini.
“Ketika mula-mula bermain begpaip, kami hanya mainkan versi lagu-lagu Scotland,” katanya sambil ketawa.
Detik perubahan berlaku pada 2011 apabila seorang ‘pipe major’ dari Australia secara sukarela melatih mereka, membawa mutu persembahan Sri Dasmesh setanding dengan pasukan antarabangsa.
Sejak itu, mereka berjaya mencapai apa yang diimpikan dua beradik itu. Mereka mengembara ke pelbagai negara untuk membuat persembahan, termasuk pada 2015 di Perarakan Hari Anzac di Sydney, Australia, di mana mereka mengetuai kontinjen Sikh.

Pada tahun sama, mereka juga menjadi kumpulan pertama dari Asia yang layak ke kejohanan pancaragam begpipe dunia, sebelum muncul sebagai juara pertama dari Asia pada 2019.
Dikelilingi 8,000 pemain begpipe dan dram daripada 195 kumpulan, kebanyakannya dari negara Barat, Sri Dasmesh dengan bangga membawa nama Malaysia.
“Kami benar-benar rasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Ke mana sahaja kami pergi, kami bawa bendera Malaysia,” kata Harvinder.
“Pada 2015, ketika kali pertama menyertai kejohanan dunia di Scotland, kami mengalirkan air mata kerana terharu apabila melihat buat pertama kali dalam lebih 70 tahun kejohanan itu, bendera Malaysia berkibar di padang.”
Pada 31 Ogos ini, kumpulan itu sekali lagi akan mencipta sejarah apabila akan membuat persembahan di konsert Fortress of Dreams di Dewan Filharmonik Petronas – konsert begpipe pertama di Malaysia.

Hari Kebangsaan ini juga menandakan genap 35 tahun sejak mereka menyertai perarakan Hari Merdeka. Adakah kumpulan ini akan kembali beraksi di Dataran Merdeka?
“Kami belum berpeluang menyertainya lagi, tetapi siapa tahu. Kalau ada peluang, pasti kami akan beraksi sekali lagi,” kata Harvinder.