Carsome julung kali sertai perarakan, agih baucar RM500,000 sempena Merdeka

Carsome julung kali sertai perarakan, agih baucar RM500,000 sempena Merdeka

Inisiatif itu dilakukan selaras dengan komitmen Carsome dalam menjaga pelanggan serta menjadikan pemilikan kereta yang lebih mudah diakses.

Konvoi terdiri daripada 62 warga Carsome kelihatan bersemangat menyertai perarakan Hari Kebangsaan ke-68 di Putrajaya hari ini. (Gambar Carsome)
PETALING JAYA:
Carsome meraikan ulang tahun ke-10 syarikat dengan mengagihkan baucar bernilai RM500,000 kepada pengunjung yang menghadiri perarakan Hari Kebangsaan ke-68 di Putrajaya hari ini.

Dalam kenyataan, ia berkata inisiatif itu selaras dengan komitmen syarikat dalam menjaga pelanggan serta menjadikan pemilikan kereta lebih mudah diakses.

“Perarakan Merdeka juga merupakan simbol kebanggaan negara, sekaligus memberi peluang untuk Carsome mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas kepercayaan yang telah membentuk perjalanan syarikat ini daripada sebuah start-up tempatan kepada platform e-dagang automotif terbesar di Asia Tenggara,” katanya.

Terdahulu, Carsome buat julung kalinya menyertai perarakan Hari Kebangsaan, bersama barisan legenda bola sepak dan sukan permotoran tanah air diketuai Ketua Pegawai Sumber Manusianya Mohd Afifi Zahari.

Konvoi itu menampilkan 62 warga Carsome yang berpakaian seragam hitam dan kuning ikonik syarikat, lengkap dengan belang Harimau Malaya.

Eric Cheng dan Dollah Salleh turut menyertai perarakan kontinjen Carsome sempena Hari Kebangsaan di Putrajaya, hari ini. (Gambar Carsome)

Antara yang menyertai konvoi itu ialah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dollah Salleh, Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM Zainal Abidin Hassan, rakyat Malaysia dan Asia pertama yang memenangi Kejohanan FIA Production Car World Rally Championship Karamjit Singh, Juara Rali Malaysia sebanyak lima kali YS Khong dan atlet sukan permotoran Malaysia Leona Chin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng, berkata penyertaan mereka dalam perarakan itu turut menyerlahkan lagi semangat perpaduan dan matlamat bersama.

“Sebagai anak Malaysia, Carsome berakar kukuh dalam semangat ini dan seiring dengan aspirasi negara kita. Penyertaan dalam perarakan ini bersama wira sukan dan rakan sekerja mengingatkan kami bahawa kemajuan dapat dicapai melalui hasil usaha bersama.

“Dengan semangat perpaduan dan matlamat bersama, kami telah melakar perjalanan ini, dan dengan keyakinan yang sama, kami akan terus mengutamakan pelanggan, memastikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi fokus utama dalam perniagaan tempatan kami,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.