Cuti hujung minggu: ‘Dipersilakan ke negeri lain jika nak lagakan rakyat’, kata TMJ

Cuti hujung minggu: ‘Dipersilakan ke negeri lain jika nak lagakan rakyat’, kata TMJ

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berkata perubahan cuti hujung minggu yang kembali kepada Sabtu dan Ahad dibuat berkait kehendak rakyat Johor.

Tunku Mahkota Ismail bertitah keputusan itu turut dibuat selepas mendapat restu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Majlis Agama Islam Negeri Johor serta pelbagai pihak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menjelaskan perubahan cuti hujung minggu yang kembali kepada Sabtu dan Ahad di negeri itu bermula 1 Jan tahun depan diputuskan mengikut kehendak rakyat.

Tunku Ismail berkata, pertimbangan itu dibuat berkaitan kehendak rakyat Johor untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak, selain kesan ekonomi positif seiring pelaksanaan projek pembangunan memanfaatkan negeri.

“Ini seterusnya akan membawa keuntungan kepada negeri dan rakyatnya.

“Dengan izin dan restu KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, pandangan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor, kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan dan rakyat, maka saya telah membuat keputusan untuk Johor bercuti semula pada Sabtu dan Ahad,” katanya di Facebook.

“Jika ada pihak kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu.”

Pada 7 Okt lalu, Tunku Ismail mengumumkan cuti hujung minggu di Johor akan kembali kepada Sabtu dan Ahad mulai 1 Jan tahun depan.

Susulan itu, baginda berharap semua syarikat swasta, kerajaan dan pihak berkaitan akan memberi ruang dan masa mencukupi untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat pada waktunya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.