
Timbalan Ketua PKR Johor, Jimmy Puah, membantah cadangan itu semata-mata untuk menunaikan solat Jumaat kerana dua jam terakhir sebelum cuti hujung minggu penting untuk orang awam menyelesaikan urusan mereka di sesetengah jabatan kerajaan, termasuk hal kecemasan
“Sebagai contoh, orang awam yang mempunyai urusan kecemasan untuk ke luar negara tidak boleh memperbaharui pasport pada petang Jumaat kerana kaunter Jabatan Imigresen ditutup awal, maka mereka terpaksa menunggu sehingga Isnin pagi.
“Begitu juga dengan urusan di mahkamah, sebahagian orang kena tahan terpaksa dilanjutkan waktu tahanan mereka pada Sabtu dan Ahad kerana mahkamah ditutup lebih awal,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Malay Mail memetik sumber menyebut bahawa Johor mungkin melaksanakan cuti hujung minggu dua setengah hari, dengan Jumaat bekerja separuh hari, diikuti Sabtu dan Ahad sebagai cuti hujung minggu untuk membolehkan umat Islam bersiap menunaikan solat Jumaat.
Puah bagaimanapun menyokong usaha kerajaan negeri mengkaji semula cuti hujung minggu daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad sejajar negeri serta negara lain.
Katanya, mengembalikan cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad akan memberi kelebihan kepada proses pemulihan ekonomi, selain institusi keluarga dapat diperkasakan apabila ibu bapa boleh meluangkan lebih banyak masa bersama anak.
“Namun sekiranya kerajaan meneruskan dasar cuti berlebihan, saya dapati sukar untuk kita capai angka RM260 bilion tersebut,” katanya merujuk sasaran pertumbuhan ekonomi Johor sebanyak 7% setahun untuk mencapai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion menjelang 2030.
“Untuk menarik pelabur, kita perlu bersaing dengan negara dan negeri yang tidak mengamalkan dasar cuti berlebihan seperti Indonesia, Singapura, Vietnam, Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak.
“Saya amat bimbang ia akan beri kesan buruk kepada ekonomi negeri kerana pelabur lebih berminat untuk melabur di negara atau negeri yang bekerja kuat dan lebih masa,” katanya yang menggesa kerajaan negeri melaksanakan dasar memandang ke hadapan, bukannya ke belakang.