Sekolah di Johor cuti Sabtu, Ahad sebelum cuti akhir persekolahan bermula

Sekolah di Johor cuti Sabtu, Ahad sebelum cuti akhir persekolahan bermula

Perubahan berkenaan akan membabitkan 583,373 murid dan lebih 48,000 guru.

cikgu
Cuti hujung minggu di Johor ditukar kembali kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan depan.
KOTA TINGGI:
Sekolah di bawah Kementerian Pendidikan di Johor akan melaksanakan cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad sebelum cuti akhir persekolahan sesi 2024/2025 bermula pada 18 Jan tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Aznan Tamin berkata perubahan berkenaan akan membabitkan 583,373 murid dan lebih 48,000 guru.

“Bila sudah diumumkan 1 Jan (pelaksanaan cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad) kena ikut dengan tarikh berkenaan cuti itu. Jadi ia akan diteruskan, mungkin boleh praktikal dulu pada bulan pertama dari pengurusan pembelajaran dan pengangkutan anak-anak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Literasi Undang-undang.

Aznan berkata satu mesyuarat penyelarasan dibuat antara Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berhubung pelaksanaan cuti hujung minggu berkenaan.

“Dalam masyuarat bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Mohd Fared Mohd Khalid, kita bincangkan bagaimana pengurusan pelajar sekolah.

“Kita akan sentiasa bekerjasama dengan JPNJ dan Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) bantu dari segi prosedur untuk anak-anak bersekolah,” katanya.

Hasil mesyuarat dan kaedah penyelarasan akan dibentangkan kepada Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi untuk dipersembahkan kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Isnin lepas, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar cuti hujung minggu di Johor ditukar kembali kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan depan, dan perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Pada 2014, cuti hujung minggu Johor ditukar kepada Jumaat dan Sabtu susulan titah Sultan Ibrahim.

Selain Johor, negeri yang melaksanakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ketika ini ialah Kedah, Terengganu, dan Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.