Cuti hujung minggu: Hasil mesyuarat akan diserah Sultan Johor, kata MB

Cuti hujung minggu: Hasil mesyuarat akan diserah Sultan Johor, kata MB

Onn Hafiz Ghazi berkata, negeri yang boleh beroperasi secara digital akan lebih memudahkan urusan rakyat dan ekonomi, tanpa mengira hari cuti minggunya.

Onn Hafiz Ghazi mempengerusikan mesyuarat ketiga kerajaan negeri yang membincangkan penyelarasan semula cuti hujung minggu bagi Johor semalam. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Hasil dapatan dan perbincangan mesyuarat mengenai penyelarasan semula cuti hujung minggu negeri akan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk mendapat pandangan dan perkenan baginda.

Menerusi hantaran di Facebook, Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau telah mempengerusikan mesyuarat ketiga kerajaan negeri yang membincangkan penyelarasan semula cuti hujung minggu bagi Johor.

“Antara yang menjadi perhatian utama adalah perbezaan cuti antara ibu bapa dan anak-anak yang menyebabkan mereka sukar meluangkan masa bersama.

“Keputusan yang bakal dibuat akan membabitkan 576,691 pelajar dan 1.764 juta tenaga kerja di Johor yang majoritinya (93%) dari sektor swasta,” katanya dalam hantaran itu.

Namun, beliau memberi jaminan apa juga yang diputuskan, tahap pendigitalan di Johor akan terus diperhebatkan.

“Negeri yang boleh beroperasi secara digital akan lebih memudahkan urusan rakyat dan ekonomi, tanpa mengira hari cuti minggunya. Peningkatan digital ini saja sudah boleh menyumbang kepada kesejahteraan Bangsa Johor tanpa perlu ke kaunter fizikal.”

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah wakil sektor kerajaan, swasta, pendidikan, pemain industri, termasuk perbankan dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Pada 14 Jun lalu, Onn Hafiz dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula penetapan hari cuti minggu yang dilaksanakan setiap Jumaat dan Sabtu sejak 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.