TMJ bantu SPRM bongkar sindiket penyeludupan didalangi pegawai kanan ATM

TMJ bantu SPRM bongkar sindiket penyeludupan didalangi pegawai kanan ATM

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata Tunku Ismail mahu isu penyeludupan di sempadan dibanteras sepenuhnya.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Maklumat hasil ‘networking’ Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim banyak membantu SPRM bongkar sindiket penyeludupan didalangi pegawai kanan ATM, kata Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki. (Gambar Bernama)
CYBERJAYA:
Hubungan atau ‘networking’ Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim banyak membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar sindiket penyeludupan yang didalangi beberapa pegawai tinggi tentera baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata Tunku Ismail yang sering dirujuk sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ) mahu isu penyeludupan di sempadan dibanteras sepenuhnya.

“Saya ingin memberitahu bahawa TMJ dalam hal ini amat bekerjasama dan mahu perkara ini (penyeludupan) dibanteras.

“Banyak juga kita dapat maklumat-maklumat daripada hasil ‘networking’ Tunku Mahkota Johor,” katanya dalam Majlis Penutup Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (Komawar) di Universiti Multimedia.

SPRM pada Rabu lalu menahan 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera (ATM) dan dua wartawan portal dalam talian, dipercayai terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air.

Turut direman, seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan seorang wanita warga asing.

Semua suspek berumur 30 hingga 55 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang menerusi Op Sohor dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama polis.

Pegawai itu ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan, namun mereka dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan sejak lima tahun yang lalu dan disyaki mengumpulkan hasil rasuah sebanyak lebih RM3 juta.

Dalam pada itu, Azam menjelaskan bahawa dua petugas syarikat media yang ditahan itu merupakan wartawan dalam bidang media sosial bukannya media arus perdana.

Katanya, buat masa ini nama syarikat media berkenaan tidak boleh didedahkan lagi dan SPRM sedang menyiasat atas sebab apa syarikat itu ditubuhkan.

“Siasatan awal menunjukkan kedua-dua mereka (petugas media) ini adalah bekas tentera.

“Mereka bukan bertugas sebagai wartawan sebenar tetapi lebih kepada ‘enablers’ (pemudah cara) untuk membocorkan maklumat kepada penjenayah seperti penyeludup,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.