
Penasihat Pertubuhan Sahabat Tomyam Prihatin SeMalaysia, Che Mamad Che Mod, berkata persatuannya tidak galak ahli menjual rokok sebelum 1 Okt lagi, iaitu sebelum Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) berkuatkuasa.
“Ini kerana ada kanak-kanak dan wanita. Bagi pihak Sahabat Tomyam dan pengusaha tomyam khasnya hanya sedikit yang menjual rokok,” katanya kepada FMT.
Che Mamad berkata beliau tidak menjual rokok atas sebab agama, selain atas sebab kesihatan.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Dr Jamalludin Ab Rahman, pada Selasa mencadangkan semua kedai makan tidak menjual rokok, dalam usaha membantu kerajaan mencegah tabiat merokok.
Cadangan itu menyusuli syor Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) supaya ‘kedai mamak’ tidak menjual barang kontroversi itu.
Presiden Presma, Jawahar Ali Taib Khan, pada Ahad memaklumkan lebih 40% daripada 12,000 premis bawah persatuan itu tidak lagi menjual rokok, setakat ini.
Akta 852 berkuat kuasa 1 Okt lalu, serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya.
Antaranya ia melarang penjualan produk merokok di institusi pendidikan, serta melalui pasar jualan dalam talian dan mesin layan diri.