Permit tapak kedai makan dekat tanah terhakis digantung sebulan

Permit tapak kedai makan dekat tanah terhakis digantung sebulan

Penilaian awal dapati kawasan terlibat merupakan tanah tambak berisiko tinggi untuk runtuh, kata exco.

Rakaman dron tular di TikTok dedah keadaan hakisan tanah di sebuah kawasan persinggahan yang popular dalam kalangan pelancong di Cameron Highlands. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Permit penggunaan tapak kedai makan berhampiran Seksyen 45.9 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands (FT 185) akan digantung sementara selama sebulan bermula esok bagi memberi laluan kepada siasatan menyeluruh berhubung risiko tanah runtuh.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, langkah itu diambil susulan penilaian awal yang mendapati kawasan terlibat merupakan tanah tambak yang berisiko tinggi untuk runtuh.

Bagaimanapun, katanya, lokasi cerun tersebut berada di luar seliaan atau rizab Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Sehubungan itu, pihak JKR menasihatkan supaya lokasi tersebut ditutup bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Tindakan penutupan lokasi tersebut adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Hutan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Mohammad Nizar berkata, kawasan berisiko tanah runtuh itu terletak di Kompartmen 31 Hutan Simpan Bukit Kinta dan berhampiran kedai makan.

Menurutnya, kawasan kedai makan itu telah diberikan Permit Penggunaan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak bagi tujuan sewaan tapak kedai makan dan minum seluas 0.4 hektar berkuat kuasa dari 16 Mei hingga 31 Dis 2025.

“Untuk tindakan dan laporan awal, Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan memberi notis penutupan kepada pemegang permit mulai esok (26 Dis) selama tempoh satu bulan sehingga siasatan lengkap dibuat,” katanya.

Terdahulu, sebuah kawasan persinggahan yang popular dalam kalangan pelancong di laluan Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands menjadi tumpuan selepas keadaan hakisan tanah di lokasi itu didedahkan menerusi rakaman dron tular di TikTok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.