Tiada siapa terkecuali, kata Dzulkefly selepas menteri didakwa merokok di kedai makan

Tiada siapa terkecuali, kata Dzulkefly selepas menteri didakwa merokok di kedai makan

Tetapi, beliau tidak mengesahkan sama ada individu dalam gambar itu ialah menteri atau mendedahkan tindakan khusus yang dikenakan.

Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 akan dikuatkuasakan terhadap semua. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata tiada sesiapa pun terkecuali daripada penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) susulan dakwaan Menteri Luar, Mohamad Hasan dikesan merokok di sebuah kedai makan.

“Tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang,” katanya menerusi X dalam respons terhadap gambar didakwa Mohamad merokok di kedai makan.

Beliau berkata Akta 852 yang berkuat kuasa 1 Okt lalu akan dilaksanakan tanpa dwistandard.

Tetapi, Dzulkefly tidak mengesahkan sama ada individu dalam gambar itu ialah Mohamad atau mendedahkan tindakan khusus yang dikenakan.

FMT sudah menghubungi Dzulkefly dan Mohamad untuk mengulas.

Mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, sesiapa yang didapati merokok di kawasan larangan merokok boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara maksimum dua tahun, manakala pemilik perniagaan yang gagal mempamer papan tanda larangan merokok boleh didenda sehingga RM3,000 atau dipenjara sehingga enam bulan.

Seksyen 16 Akta 852 pula memperuntukkan individu merokok di kawasan larangan merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.