Mendap lagi, sebahagian laluan Jalan Masjid India ditutup

Mendap lagi, sebahagian laluan Jalan Masjid India ditutup

DBKL berkata pasukan gabungan beberapa agensi sedang melakukan siasatan di lokasi kejadian di Jalan Bunus.

Masjid india tanah jerlus sinkhole
Keadaan sebahagian jalan yang mendap di Jalan Bunus berhampiran Jalan Masjid India, pagi tadi. (Gambar DBKL)
PETALING JAYA:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan segera menutup sebahagian Jalan Masjid India kepada semua kenderaan berikutan kejadian jalan mendap di Jalan Bunus yang terletak berhampirannya pagi tadi.

Menurut DBKL, insiden berlaku di hadapan premis Bombay Jewellery sekitar 8.40 pagi.

“Bagi tujuan keselamatan, Jalan Masjid India ditutup sementara kepada laluan kenderaan bermula dari Lorong Masjid India 4 (sebelah masjid) hingga ke kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pasukan daripada DBKL, Air Selangor, Indah Water Konsortium dan IPD Dang Wangi kini berada di lokasi bagi menjalankan siasatan.

DBKL berkata, aspek keselamatan awam kekal menjadi keutamaan tertinggi dan kerja-kerja pemantauan serta teknikal akan diteruskan, manakala perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Pada 23 Ogos tahun lalu, seorang pelancong warga India G Vijaya Lakshmi, 48, dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang benam sedalam 8m yang terbentuk secara tiba-tiba di laluan pejalan kaki di jalan sama.

Siasatan mendapati lubang benam itu terbentuk disebabkan kegagalan struktur paip pembetungan, yang terhakis akibat tindak balas kimia serta faktor ketidakstabilan tanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.