Air Selangor rugi lebih RM2 juta akibat kes curi air

Air Selangor rugi lebih RM2 juta akibat kes curi air

Air Selangor berkata 111 kes kecurian air terawat dikesan, dengan jumlah di Klang tertinggi, iaitu 28 kes.

air selangor
Air Selangor berkata industri dikesan aktif melakukan kecurian air atau sambungan haram merangkumi tapak projek pembinaan serta pembinaan ubah suai premis industri dan kediaman.
PETALING JAYA:
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengalami kerugian RM2,095,394.75 tahun lalu akibat penyambungan bekalan air secara haram oleh pihak industri di Lembah Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali, berkata 111 kes kecurian air terawat dikesan, dengan 28 kes dikesan di Klang, disusuli Kuala Lumpur (20), Gombak (15), Petaling (12), Hulu Langat (11), Hulu Selangor (10), masing-masing empat kes di Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam serta Sepang (tiga).

“Antara 10 kawasan ‘hotspot’ mencatatkan kes tertinggi kecurian air adalah Shah Alam, Mont Kiara, Batu Caves, Puchong, Cheras, Rawang, Banting, Puncak Alam, Sungai Besar dan Putrajaya,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, industri dikesan aktif melakukan kecurian air atau sambungan haram merangkumi tapak projek pembinaan serta pembinaan ubah suai premis industri dan kediaman.

Menurutnya, kegiatan itu turut didalangi perniagaan am, kedai makan, kedai cuci kenderaan, kilang, pejabat urusan, tapak semaian dan pusat kecantikan.

Sejak Januari hingga 31 Mac lalu, katanya, 13 Operasi Bersepadu Curi Air Terawat dijalankan di Gombak, Hulu Langat, Petaling, Klang dan Kuala Langat, dengan tujuh kes curi air dikesan.

Bagi membendung kecurian air terawat, beliau berkata, penguat kuasa Air Selangor akan giat melakukan operasi bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Air Selangor menggalakkan orang awam segera membuat aduan kecurian air melalui aplikasi Air Selangor di bahagian Report Leaks > Water Theft.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.