Selangor kuat kuasa tarif air baharu 1 Sept

Selangor kuat kuasa tarif air baharu 1 Sept

Pusat data perlu bayar kadar lebih tinggi, manakala kadar minimum bagi pengguna domestik tidak berubah.

amirudin shari
Menteri Besar Amirudin Shari berkata, kenaikan tarif air penting agar Selangor dapat capai matlamat segerakan penggantian paip asbestos lama.
PETALING JAYA:
Tarif air baharu untuk Selangor mulai 1 Sept telah diluluskan, termasuk kadar baharu yang lebih tinggi untuk pusat data. Bagaimanapun, tiada perubahan pada kadar minimum bagi kategori domestik.

Kondominium, estet dan kuarters kerajaan akan dikenakan bayaran 41 sen lebih tinggi, iaitu RM2.09 per meter padu, namun caj minimum untuk kondominium sebanyak RM173 sebulan kekal tidak berubah.

Tarif baharu ini terpakai bagi pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang menerima bekalan air terawat daripada Air Selangor.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, pusat data akan dikenakan caj RM5.31 per meter padu kerana penggunaan air yang tinggi untuk tujuan penyejukan, yang dalam sesetengah kes mencecah lebih sejuta liter sehari.

Tiada perubahan tarif minimum bagi isi rumah menggunakan kurang daripada 20 meter padu sebulan, yang masih ditetapkan pada kadar RM0.65 per meter padu. Caj minimum untuk pengguna domestik kekal pada RM6.50.

Bagaimanapun, terdapat kenaikan 30 sen bagi isi rumah menggunakan 20 hingga 35 meter padu, yang akan membayar RM1.62 per meter padu, dan kenaikan 88 sen bagi mereka yang menggunakan lebih daripada 35 meter padu, yang akan membayar RM3.51 per meter padu.

Kadar baharu untuk bangunan komersial dan bukan domestik naik 57 sen kepada RM3.51 per meter padu, manakala rumah ibadat dan institusi kebajikan perlu membayar RM0.76 per meter padu, kenaikan sebanyak 10 sen.

Kerajaan negeri akan menanggung kos kenaikan air bagi rumah ibadat dan institusi kebajikan, dengan anggaran RM100,000 setahun.

Amirudin berkata, kerajaan negeri menganggap kenaikan tarif itu penting untuk mencapai matlamat menyegerakan penggantian paip asbestos lama – yang mana 1,600km daripadanya berusia lebih 40 tahun. Mulai tahun ini, Air Selangor akan meningkatkan kadar penggantian paip kepada 300km setahun.

Beliau berkata Air Selangor sedang membina loji rawatan air (LRA) baharu di Rasau dan Labohan Dagang 2, masing-masing bernilai RM7.671 bilion dan RM479.52 juta, bagi memenuhi permintaan penduduk Selangor yang semakin meningkat. Projek-projek ini akan meningkatkan kapasiti bekalan air sebanyak 2,730 juta liter sehari (JLH).

Amirudin juga berkata, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian air percuma melalui Skim Air Darul Ehsan kepada lebih 1.3 juta penduduk (337,851 akaun), bernilai RM13 sebulan bagi setiap akaun.

Bagi memastikan lebih Banyak isi rumah mendapat manfaat, had kelayakan pendapatan akan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan.

Amirudin berkata, RM52.7 juta akan diperuntukkan setiap tahun untuk menyokong subsidi ini dan memastikan usaha meningkatkan kelestarian perkhidmatan air tidak membebankan golongan yang paling memerlukan.

Beliau berkata, tarif baharu itu mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.