Belanjawan 2025: PKS harap dasar tangani kos meningkat

Belanjawan 2025: PKS harap dasar tangani kos meningkat

Peningkatan kos pengeluaran, upah dan sewa, serta kekurangan buruh yang ketara, telah menjejaskan banyak margin keuntungan PKS.

artificial intelligence
Sebuah kumpulan perniagaan menggesa kerajaan membantu PKS meningkatkan rantaian nilai dengan menawarkan lebih banyak insentif untuk penggunaan AI, penjenamaan, pendigitalan dan inovasi dalam Belanjawab 2025. (Gambar ETX)
PETALING JAYA:
Dua kumpulan perniagaan berharap Belanjawan 2025 akan menyediakan dasar yang membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangani peningkatan kos perniagaan dan pasaran yang semakin kompetitif.

Mereka berkata walaupun negara mengalami pertumbuhan ekonomi yang kukuh dalam tempoh dua suku lepas, margin keuntungan PKS telah terjejas oleh peningkatan kos pengeluaran, gaji dan sewa serta kekurangan buruh yang ketara.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong mahu kerajaan mengekalkan subsidi sedia ada bagi petrol RON95. Beliau berkata PKS juga berharap Belanjawan 2025 akan menyaksikan kerajaan meningkatkan nilai geran pendigitalan yang ditawarkan.

Tahun lepas, kerajaan menyediakan geran padanan sebanyak 50% atau sehingga RM5,000 untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang layak untuk membantu mereka menerima pakai teknologi baharu dan menambah baik operasi perniagaan.

Chin juga berharap untuk melihat peningkatan dalam geran pembangunan pasaran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) daripada RM300,000 kepada RM500,000. Diperkenalkan pada 2002, geran itu bertujuan menawarkan bantuan pengeksport untuk memasarkan produk dan perkhidmatan buatan tempatan mereka di peringkat antarabangsa.

“PKS menghadapi banyak cabaran, terutamanya daripada pelbagai perniagaan antarabangsa. Kita perlu membantu PKS untuk mempromosikan produk mereka secara global. Jika tidak, mereka akan rugi,” kata Chin.

“Kami juga berharap kerajaan dapat memperuntukkan dana untuk membantu PKS mempelajari dan menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus dengan menganjurkan kursus atau program.”

Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) William Ng menggesa agar PKS dibantu untuk mengekalkan perniagaan mereka di tengah-tengah persaingan yang semakin sengit.

Menurutnya, ramai pemilik PKS pada masa ini tidak dapat mengambil risiko, mungkin disebabkan kekurangan keupayaan nilai tambah yang tinggi.

Dalam belanjawan tahun lepas, kerajaan memperuntukkan RM44 bilion khusus untuk pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk PKS.

Ini termasuk RM1.4 bilion untuk pinjaman mikro daripada Bank Simpanan Nasional, RM720 juta untuk usahawan wanita dan belia, RM330 juta untuk peniaga kecil, dan RM30 juta untuk perniagaan masyarakat India.

Bank Negara Malaysia diberikan RM900 juta untuk pinjaman bagi membantu PKS beralih kepada digital dan automasi, manakala RM100 juta lagi diperuntukkan untuk geran pendigitalan (terhad pada RM5,000 untuk setiap usahawan) untuk membantu 20,000 syarikat menaik taraf jualan, inventori dan sistem perakaunan digital mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.