
Ia melibatkan golongan berpendapatan rendah dan terpinggir dalam rantaian nilai teras perniagaan.
Forum berlangsung pada 11 dan 12 Sept lalu menghimpunkan hampir 400 peserta termasuk pegawai kerajaan, syarikat, pelabur dan pertubuhan antarabangsa bagi membincangkan pembangunan ekosistem IB di rantau Asean.
Salah satu tumpuan utama forum ialah pelancaran kerangka pembangunan kapasiti IB bagi menyokong anggota negara Asean meningkatkan keupayaan perniagaan dan komuniti dalam membangunkan model IB secara berkesan dan mampan.

Ketika membacakan ucapan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan menegaskan daya tahan ekonomi bukan diukur pada pertumbuhan semata-mata, tetapi juga memastikan rakyat turut menikmati kemakmuran ekonomi tersebut.
Dalam pada itu, 10 syarikat cemerlang dari setiap anggota negara Asean mendapat pengiktirafan kerana berjaya menerapkan model IB dalam operasi mereka selain menyumbang kepada impak sosial dan ekonomi.

Selain forum, Pameran Perniagaan Inklusif dan Perusahaan Sosial Asean turut dianjurkan pada 11 hingga 14 Sept di Sunway Pyramid yang disertai 38 syarikat dari Malaysia, Myanmar, Indonesia, Thailand dan Filipina.
Kategori pempamer merangkumi seni dan kraf, produk kecantikan, makanan dan minuman, pendidikan dan latihan, pertanian serta pelancongan.
Perniagaan itu digerakkan oleh usahawan daripada pelbagai latar belakang termasuk warga emas, belia kurang bernasib baik, golongan miskin, masyarakat Orang Asli, orang kurang upaya, malah bekas banduan.