Selangor lancar SIBS 2025 perkukuh kerjasama Asean, ekonomi

Selangor lancar SIBS 2025 perkukuh kerjasama Asean, ekonomi

Sidang kemuncak empat hari itu akan berlangsung dari 8 hingga 11 Okt 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ng Sze Han
Ng Sze Han mewakili Amirudin Shari melancarkan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025, semalam. (Gambar Invest Selangor)
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor melancarkan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 dengan menekankan tumpuan yang lebih kukuh terhadap kerjasama serantau, ketahanan ekonomi dan pertumbuhan terangkum.

Sidang kemuncak selama empat hari itu akan berlangsung dari 8 hingga 11 Okt 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Memasuki tahun kesembilan penganjurannya, SIBS telah berkembang menjadi antara platform paling berpengaruh di rantau ini dalam bidang perdagangan, pelaburan dan inovasi sekali gus mengukuhkan peranan Selangor sebagai pintu masuk utama ke pasaran Asia Tenggara.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata perpaduan serantau menjadi lebih penting daripada sebelumnya susulan keadaan ketidaktentuan global yang semakin meningkat.

“Kita beroperasi dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu. Justeru, adalah amat penting untuk negara Asean berdiri bersama, bersatu, berpandangan jauh dan berdaya tahan.

“Selangor komited untuk memainkan peranan utama dalam memperkukuh kerjasama serantau, sama ada di peringkat kerajaan mahupun sektor perniagaan,” katanya dalam ucapan pelancaran SIBS 2025 semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han.

Invest Selangor dalam kenyataan pula berkata SIBS 2025 akan mempamerkan enam komponen utama di bawah satu bumbung iaitu Ekspo Makanan dan Minuman Antarabangsa Selangor; Ekspo Taman Pelaburan dan Perindustrian Selangor serta Persidangan Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor.

Komponen lain termasuk Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor; Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor serta acara yang baru diperkenalkan iaitu Sidang Kemuncak Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Selangor.

Sidang kemuncak itu dianjurkan Kerajaan Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pelaburan & Perdagangan, Pembangunan IKS & Wilayah Ekonomi Baharu, Mobiliti Selangor dan Invest Selangor.

Untuk maklumat lanjut mengenai SIBS 2025, sila layari www.selangorsummit.com atau ikuti media sosial @selangorsummit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.