
“Kita semua rakan. Tentu saja ada orang yang berfikir sebaliknya, atau cuba cetus persepsi bahawa saya dan Hamzah bukan rakan karib.
“Inilah ‘dream team’ kita,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan Ke-8 parti itu di Ideal Convention Centre (IDCC) hari ini, merujuk kepada barisan majlis pimpinan tertinggi.
Hamzah, yang dituduh sebagai ‘musuh dalam selimut’ menerusi sepucuk surat layang, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Tahunan parti, beliau menegaskan pengkhianatan ‘bukan datang dari dalam parti, sebaliknya, orang luar’.
“Cukup-cukuplah. Saya nak beritahu kepada semua, saya penyokong nombor satu presiden,” katanya kepada perwakilan.
Terdahulu, Muhyiddin mendedahkan tentang kewujudan gerakan mengumpul tandatangan untuk menyingkirkannya, yang mencetuskan kekecohan ketika beliau berucap.
Pada majlis makan malam parti selepas perhimpunan, Muhyiddin memaklumkan tentang perkembangan parti, khususnya jumlah keanggotaan parti selepas proses pembersihan daftar ahlinya baru-baru ini.
“Setiausaha agung tidak umum jumlah ahli kita hari ini kerana baru sahaja selesai proses ‘pembersihan’ untuk menentukan yang ada dalam daftar keahlian kita yang benar,” jelasnya.
Dengan nada bangga, beliau menambah, “Beliau menyebut kepada saya, (Bersatu) sudah ada hampir 600,000 ahli di seluruh negara, dengan kira-kira 5,000 cawangan dan 202 bahagian.
“Ini merupakan jumlah bahagian yang tertinggi berbanding parti-parti lain”.