Gabungan longgar boleh berkembang kepada 14 parti, kata Muhyiddin

Gabungan longgar boleh berkembang kepada 14 parti, kata Muhyiddin

Presiden Bersatu berkata, parti-parti baharu berminat sertai gabungan yang ditubuhkan untuk mempertanggungjawabkan kerajaan.

Muhyiddin Yassin
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, blok bersepadu yang dibentuk untuk mempertanggungjawabkan kerajaan mungkin melibatkan sehingga 14 parti.
PETALING JAYA:
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa lebih banyak parti dijangka akan menyertai blok bersepadu yang kini sedang dibentuk oleh parti-parti di luar kerajaan.

“Hari ini, saya dapat surat untuk berjumpa (mereka). Ada parti-parti baharu (yang berminat), mungkin bilangannya akan naik sampai 14 parti pembangkang,” katanya pada majlis makan malam selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Ke-8 hari ini.

Menurut beliau, pada mulanya, hanya terdapat 12 parti menyertai majlis minum petang yang menjadi pertemuan pertama tidak rasmi gabungan longgar itu.

“Selepas itu, kita panggil mesyuarat pertama, semua hadir, kita bersetuju atas satu perkara yang paling penting, iaitu hubungan kita dalam soal politik nasional,” katanya.

Muhyiddin petang tadi menyuarakan keyakinan beliau terhadap pembentukan gabungan itu.

“Prospek jangka panjangnya kelihatan cerah,” kata beliau pada sidang media selepas perhimpunan.

“Dan satu keputusan yang sudah diputuskan bersama adalah berkaitan dengan soal ekonomi. Kita juga telah bersetuju supaya kita ambil langkah (susulan).”

Menurut Muhyiddin, gabungan tersebut akan memberikan tumpuan pada isu-isu khusus, termasuk sokongan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Jadi kita akan ambil langkah bersama rakan-rakan dan ketua-ketua parti. Mungkin berjumpa persatuan PKS, sama ada Melayu, Cina atau India. Itu tak ada masalah bagi kita.

“Sekarang ni, kita dah langkau batas perkauman. Kita mahu jumpa (semua) dan bincang,” katanya.

Muhyiddin turut menyatakan bahawa kerjasama gabungan itu berpotensi diperluas ke arena pilihan raya.

“Semestinya akan timbul persoalan, bagaimana kita hendak kerjasama, berlainan parti. Mampukah kita bentuk kerjasama yang mantap?

“Adakah mereka akan sertai Perikatan Nasional (PN)? Atau mereka akan wujudkan pakatan pilihan raya untuk elak pertembungan pelbagai penjuru yang akan merugikan? Semua ini akan dibincangkan,” jelasnya.

Bulan lepas, 11 parti di luar blok kerajaan mencapai persetujuan untuk menubuhkan sebuah gabungan longgar bertujuan menuntut akauntabiliti daripada pentadbiran semasa dan menyuarakan isu-isu rakyat, termasuk dakwaan kegagalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan janji-janji reformasi.

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan PN sebelum ini sebulat suara memberi mandat kepada Muhyiddin untuk menerajui usaha membentuk sebuah blok pembangkang yang bersepadu, sebagai inisiatif persiapan bagi menghadapi PRU16.

Pada 18 Julai lepas, presiden Bersatu itu mengadakan satu mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin tertinggi parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.