Sedia laluan pendidikan alternatif untuk pelajar tercicir, kata bekas MP

Sedia laluan pendidikan alternatif untuk pelajar tercicir, kata bekas MP

Charles Santiago berkata mengembalikan mereka mereka ke dalam sistem yang sama adalah satu pembaziran sumber.

Kerajaan telah memperuntukkan tambahan RM100 juta untuk membantu mencegah pelajar sekolah daripada tercicir.
PETALING JAYA:
Laluan pendidikan alternatif harus diwujudkan untuk pelajar tercicir dan bukannya mengembalikan mereka kepada sistem yang sama, kata Charles Santiago dari DAP.

Langkah mengembalikan mereka mereka ke dalam sistem yang sama adalah satu pembaziran sumber, kata bekas Ahli Parlimen Klang itu.

Sebaliknya, tambahan RM100 juta yang diperuntukkan untuk program Anak Kita perlu digunakan untuk mewujudkan laluan alternatif, bermula dengan melengkapkan golongan tercicir dengan kemahiran asas seperti menulis dan membaca.

Tambahnya, mereka yang tercicir akan bergelut tanpa pendidikan asas dan adalah penting untuk melengkapkan mereka kemahiran terbabit supaya dapat menyumbang kepada negara.

Santiago berkata langkah seterusnya ialah memperkenalkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional seawal Tahun 6, dengan program pantas untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran teknikal sebaik tamat Tingkatan 5.

“Kita memerlukan individu yang berpendidikan untuk memastikan kemajuan negara. Jika tidak, mereka akan menjadi mangsa gejala sosial. Tanpa campur tangan yang sewajarnya, pelajar-pelajar ini boleh berakhir dengan pekerjaan berkemahiran rendah atau malah beralih kepada jenayah, yang akan merugikan negara,” katanya kepada FMT.

Beliau juga menggesa kerajaan menggunakan peruntukan tambahan itu untuk memperkenalkan pendidikan digital dan program pembinaan sahsiah di bawah program itu.

Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan memperuntukkan tambahan RM100 juta kepada program Anak Kita, yang bertujuan untuk membendung keciciran dengan meningkatkan literasi dan numerasi dalam kalangan pelajar sekolah rendah serta meningkatkan kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ia juga bertujuan untuk menyepadukan semula keciciran ke dalam sistem pendidikan, tetapi pada masa ini hanya melibatkan 500 pelajar dari 50 sekolah menengah dan 20 sekolah rendah.

Santiago berkata Kementerian Pendidikan perlu strategik dalam menggunakan dana untuk penyelesaian jangka panjang dan bukannya pemulihan sementara. Beliau juga berkata perlu ada penyelidikan yang kukuh untuk mengenal pasti punca keciciran sebelum membelanjakan dana.

Beliau juga menyeru kementerian itu untuk melibatkan NGO bagi membantu mengenal pasti dan memupuk pelajar yang boleh diperkenalkan semula ke dalam sistem pendidikan.

“NGO berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menarik dan memupuk mereka melalui sokongan berasaskan komuniti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.