Dong Zong Sarawak bidas menteri perpaduan berhubung UEC

Dong Zong Sarawak bidas menteri perpaduan berhubung UEC

Kumpulan pendidikan Cina itu berkata, pengiktirafan Sarawak sejak 2015 bukti kepelbagaian pendidikan tak ancam keharmonian negara.

Aaron Ago Dagang
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang sebelum ini cadang bahawa pengiktirafan UEC boleh jejas keharmonian negara, justeru Kementerian Pendidikan kekal tidak iktiraf kelayakan itu.
PETALING JAYA:
Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) Sarawak membidas Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berhubung dakwaannya bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) boleh mencetus ketegangan di negara ini.

Kumpulan itu menegaskan bahawa menggambarkan usaha menuntut hak pendidikan mengancam perpaduan adalah mengelirukan dan boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam menjaga keharmonian sosial, lapor The Borneo Post.

“Berbeza dengan kebimbangan menteri, kerajaan Sarawak sudah mengiktiraf UEC sejak 2015 sebagai kelayakan sah bagi perkhidmatan awam, biasiswa Yayasan Sarawak dan pendidikan tinggi tempatan, sambil terus memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Sistem ini berjalan lancar tanpa timbul masalah perlembagaan mahupun perpaduan, membuktikan kepelbagaian pendidikan dan identiti kebangsaan mampu hidup seiring,” katanya dalam kenyataan.

Dalam jawapan bertulis Parlimen kepada wakil rakyat Beaufort Siti Aminah Aching, Aaron mencadangkan bahawa pengiktirafan UEC boleh menjejaskan keharmonian negara, dan inilah sebabnya Kementerian Pendidikan kekal tidak mengiktiraf kelayakan itu.

Dong Zong Sarawak berkata, jika kerajaan persekutuan dan Kementerian Perpaduan Negara benar-benar komited memupuk perpaduan, mereka perlu mengetepikan agenda politik sempit dan mengambil iktibar daripada pengalaman Sarawak.

“Perpaduan negara bukan sekadar retorik kosong. Kementerian patut memperkukuh konsensus sosial dengan dasar terbuka, adil dan saksama, bukan mebiarkan kenyataan memecah-belah melemahkan asas perpaduan,” katanya.

Dong Zong Sarawak menegaskan, perpaduan lebih mudah tergugat oleh jurang sumber dan peluang, serta pempolitikan isu kaum dan agama, bukannya oleh pendidikan bahasa ibunda.

Persatuan itu turut menyeru Aaron, sebagai Ahli Parlimen dari Sarawak, belajar daripada pengalaman tadbir urus inklusif negeri itu dan mendesak penilaian profesional serta akademik ke atas UEC.

“Pengiktirafan UEC tidak harus dijadikan sekadar retorik politik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.