Peniaga mengaku tak salah rasuah polis RM18,000

Peniaga mengaku tak salah rasuah polis RM18,000

Sioh Poh Keong, 51, didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan tidak diambil undang-undang ke atasnya yang menyimpan minuman keras tidak bercukai kastam.

Gavel
Peniaga kedai makan, Sioh Poh Keong, 51, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan memberi rasuah RM18,000 kepada pegawai polis. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Seorang peniaga kedai makan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM18,000 kepada pegawai polis, empat bulan lalu.

Tertuduh, Sioh Poh Keong, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail, menurut Berita Harian.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa secara rasuah memberi suapan iaitu wang tunai RM18,000 kepada Inspektor Risikan/Operasi, Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Johor sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang menyimpan minuman keras tidak bercukai kastam.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Air Biru, Pasir Gudang di sini, kira-kira 2.30 petang, 19 Jun lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan antara RM5,000 hingga RM10,000 dengan syarat tambahan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM Johor.

Peguam K Bharathi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya hanya memperoleh keuntungan RM4,000 sebulan hasil perniagaan kedai makan.

Selain itu katanya, tertuduh juga menjaga kakaknya berusia 67 tahun yang baharu menjalani pembedahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 10 November untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.