Kampung Angkat Madani: Inisiatif JPA beri nafas baharu buat Pulau Aman

Kampung Angkat Madani: Inisiatif JPA beri nafas baharu buat Pulau Aman

JPA‬‭ menerima peruntukan RM2.5 juta dari Kementerian Kewangan untuk melaksanakan projek tersebut, dengan RM2.32 juta telah dibelanjakan.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Pulau Aman Zulkplee Yusoff (dua dari kanan) menerima simbolik penyerahan fasiliti Kampung Angkat Madani daripada Anesee Ibrahim (dua dari kiri) pada majlis di Pulau Aman hari ini. (Gambar Bernama)
BATU KAWAN:
Pelaksanaan beberapa projek fizikal oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk menaik taraf kemudahan asas menerusi program Kampung Angkat Madani memberikan nafas baharu buat perkampungan nelayan Pulau Aman.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Anesee Ibrahim berkata, inisiatif itu bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk malah berupaya mengubah landskap dengan menjadikan‬ Pulau Aman sebagai‬‭ pulau‬‭ pelancongan, seni dan warisan yang‬‭ berdaya‬ saing.

“JPA‬‭ menerima peruntukan RM2.5 juta dari Kementerian Kewangan untuk melaksanakan projek Kampung Angkat Madani dan kita telah membelanjakan RM2.32‬‭ juta‬‭ bagi projek‬‭ fizikal‬‭ dan‬‭ dua‬‭ skop‬‭ projek‬‭ bukan‬‭ fizikal.‬

“Setakat‬‭ ini,‬‭ tujuh‬ projek‬‭ fizikal telah selesai‬‭ dilaksanakan‬, iaitu membaik pulih tandas awam, membaik pulih gelanggang permainan, menaik taraf pusat pengumpulan sampah, menaik taraf jeti, membaik pulih longkang, pemasangan lampu jalan dan menaik taraf dewan serba guna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Fizikal Kampung Angkat Madani Pulau Aman dan Program MyKP yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perikanan Adnan Hussain.

Anesee menambah, dua skop bukan fizikal telah dilaksanakan merangkumi keceriaan kampung, melibatkan penambahbaikan infrastruktur, pengindahan taman permainan kanak-kanak serta lukisan mural di SK Pulau Aman, mengecat Masjid Ar-Rahman dan pembersihan pesisir pantai.

Bagi perkhidmatan sosial dan insaniah pula, beliau berkata, sesi ramah mesra bersama pesara dan pelbagai kursus seperti pendigitalan pendidikan, penggunaan Microsoft Office dan Canva selain kursus pembangunan modal insan seperti Pengurusan Inap Desa dan kursus bahasa telah dianjurkan oleh Kampus Intan Wilayah Utara.

Sementara itu, sebagai langkah awal membangunkan Pulau Aman sebagai hab pelancongan, Anesee berkata, JPA dengan kerjasama Jabatan Perikanan, Komuniti Perikanan Pulau Aman (MyKP), Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan (SPS) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) menganjurkan Pertandingan Memancing MyKP (Komuniti Perikanan) Pulau Aman 2024.

Selain itu, sebanyak‬‭ 1,600‬‭ ekor‬‭ benih‬‭ ikan‬‭ siakap,‬‭ 1,000‬‭ ekor‬‭ benih‬‭ ikan‬‭ jenahak‬‭ dan‬‭ 1,000‬‭ ekor‬‭ udang‬‭ kaki‬‭ merah turut dilepaskan di‬‭ pesisir‬‭ pantai‬‭ Pulau‬‭ Aman‬‭, usaha yang dapat‬‭ memberi‬‭ manfaat‬‭ kepada‬‭ nelayan‬‭‬‭ Pulau‬‭ Aman‬ dengan nilai‬‭ pasaran‬‭ runcit‬‭ ikan‬‭ RM110,000‬‭ melalui‬‭ kegiatan pengkayaan‬ sumber perikanan.

Kampung Angkat Madani merupakan inisiatif Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 untuk meningkatkan capaian kemudahan asas secara holistik menerusi pendekatan ‘whole of government’.

Pulau Aman merupakan sebuah perkampungan nelayan tradisional seluas 116.5 hektar, yang didiami 250 penduduk daripada 47 keluarga, terletak kira-kira 8km dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Pulau itu dihubungkan jalan laut melalui Jeti Batu Musang di Batu Kawan dengan menaiki perjalanan menggunakan bot tambang selama 10 minit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.