1,359 mangsa banjir di 11 PPS Kedah

1,359 mangsa banjir di 11 PPS Kedah

Seramai 1,359 orang daripada 436 keluarga dipindahkan ke 11 PPS hari ini berbanding 917 orang daripada 293 keluarga malam tadi.

Anggota bomba memindahkan mangsa banjir dari rumah mereka di Kampung Derang semalam akibat banjir kali kedua. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, menjadikan jumlah mangsa banjir di Kedah yang ditempatkan di 11 PPS meningkat kepada 1,359 orang daripada 436 keluarga berbanding 917 orang daripada 293 keluarga malam tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua PPS baharu dibuka di daerah Kota Setar, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah yang menempatkan 145 orang daripada 46 keluarga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas seramai 73 orang daripada 26 keluarga, manakala SMK Alor Merah menempatkan 123 orang daripada 35 keluarga.

Di Pokok Sena, sebuah PPS baharu dibuka di Surau Desa KEDA Derang, menjadikan lima PPS beroperasi di daerah itu, iaitu Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Dewan Serbaguna Pokok Sena, SK Bukit Hijau Mukim Derang dan Masjid Kampung Baru Jalan Lampam yang menempatkan 734 orang daripada 231 keluarga.

Di Kubang Pasu, 284 orang daripada 98 keluarga ditempatkan di tiga PPS, iaitu SMK Changlun, Dewan Lubuk Batu dan SK Bandar Baru Darul Aman.

Berdasarkan laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata di Kampung Bata, Kubang Pasu, Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar dan Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang melepasi paras bahaya setakat 8 pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.