Kerajaan dijangka peruntuk RM403.7 bilion untuk Belanjawan 2025

Kerajaan dijangka peruntuk RM403.7 bilion untuk Belanjawan 2025

TA Securities unjur kerajaan peruntuk RM305.7 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM97.9 bilion bagi pembangunan.

kl skyline
TA Securities mengunjurkan hasil kerajaan akan meningkat sebanyak 5.7% kepada RM325.3 bilion dalam Belanjawan 2025. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
TA Securities Holdings Bhd mengunjurkan kerajaan memperuntukan sebanyak RM403.7 bilion untuk Belanjawan 2025, masing-masing merangkumi RM305.7 bilion dan RM97.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Menurut laporan firma penyelidikan itu, pertumbuhan hasil yang lebih kukuh berbanding perbelanjaan akan membawa kepada defisit fiskal yang lebih rendah sebanyak RM76.4 bilion, atau 3.7% pada 2025, berbanding unjuran 4.2% pada 2024, dan berada di landasan untuk mencapai sasaran 3.5% pada 2026.

“Ini akan disokong oleh pengembangan ekonomi, yang kami jangkakan berkembang lebih pantas pada 5% pada 2025.

“Ia akan didorong oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, dan disokong oleh pasaran buruh yang stabil, kenaikan gaji dan pelaburan swasta,” katanya.

TA Securities juga mengunjurkan hasil kerajaan akan meningkat sebanyak 5.7% kepada RM325.3 bilion dalam Belanjawan 2025 berbanding RM307.6 bilion pada 2024.

Kenaikan itu masing-masing disebabkan oleh kenaikan 4.2% dan 11.7% dalam cukai langsung dan tidak langsung, susulan ekonomi yang terus berkembang pada kadar lebih pantas, pengembangan perniagaan, dan peningkatan pendapatan.

“Tiada cukai baharu dijangka pada tahun depan selain daripada cukai minimum global 15% dan cukai barang bernilai tinggi yang ditangguhkan, selain menguatkuasakan pelaksanaan fasa demi fasa e-invois, yang akan memasuki peringkat akhir pada 2025 dan perluasan cukai jualan dan perkhidmatan.

“Ini akan mengimbangi kemungkinan pembayaran dividen yang lebih rendah oleh Petronas disebabkan oleh hasil yang diketepikan daripada operasinya di Malaysia Timur,” katanya.

Sementara itu, TA Securities menjangkakan Belanjawan 2025 akan menyentuh berkaitan langkah-langkah utama dan bakal penerima manfaat dalam bidang tertentu seperti projek prasarana awam seperti Mass Rapid Transit (MRT3) dan kereta api berkelajuan tinggi (HSR), pembangunan saksama, dan koridor pertumbuhan baharu seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Ia akan memberi tumpuan pada perbelanjaan ekonomi digital dan inisiatif pembangunan mampan yang berkaitan dengan peralihan tenaga dan tenaga boleh baharu.

Firma penyelidikan itu juga berkata Strategi Semikonduktor Nasional, eksport bernilai tambah tinggi dan pelaburan yang berkaitan dengan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, awan, dan 5G berkemungkinan turut disentuh dalam Belanjawan 2025.

“Selain itu, perkara lain, termasuk langkah untuk menurunkan kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan boleh guna melalui kenaikan gaji kakitangan awam, kemungkinan pelarasan gaji minimum daripada RM1,500 kepada antara RM1,700 dan RM1,800 dan kenaikan pelepasan atau rebat cukai.

“Ini akan mengurangkan sebarang kesan negatif daripada kemungkinan cukai yang lebih tinggi ke atas barangan makanan bergula,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.