
Hajiji berkata, hubungan rapat dan kukuh bukan sahaja perlu, malah penting memastikan kemajuan berterusan.
“Walaupun kita memperjuangkan hak-hak Sabah, kita tidak boleh lupa tanggungjawab kita untuk menjaga kepentingan negara.
“Saya yakin hubungan yang kukuh akan membawa banyak manfaat, termasuklah pemuktamadan obligasi kerajaan persekutuan berkaitan pembayaran hak hasil 40% untuk Sabah, yang kita harap dapat dimuktamadkan tidak lama lagi demi kebaikan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Sentuhan Madani yang disempurnakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Dalam pada itu, Hajiji berkata mulai tahun depan, dasar pembangunan Sabah akan dipandu oleh pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 termasuk penubuhan tiga taman perindustrian baharu iaitu Taman Perindustrian Industri Ekonomi Biru di Kudat, Taman Perindustrian Minyak dan Gas di Beaufort, serta Taman Perindustrian Teknologi Tinggi dan Semikonduktor antara Kota Belud dan Kota Marudu bagi menampung minat pelabur yang semakin meningkat.
Katanya, bantuan kewangan baharu untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas tanpa pendapatan tetap, serta insentif pembiayaan deposit rumah pertama juga akan diperkenalkan.
Selain itu, kerajaan negeri juga akan menggandakan usaha menaik taraf infrastruktur asas, dengan peruntukan lebih RM1.2 bilion bagi bekalan air, dengan pelaksanaan secara berfasa bermula pertengahan tahun depan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada perdana menteri atas peruntukan RM765 juta bagi menyiapkan Projek Sabah Southern Link, yang akan menghubungkan grid elektrik Pantai Barat ke Pantai Timur bagi menyelesaikan gangguan bekalan elektrik di kawasan itu.