Armizan dakwa Bung selektif dalam isu MA63

Armizan dakwa Bung selektif dalam isu MA63

Pemimpin GRS Armizan Mohd Ali berkata Bung Moktar Radin berbeza nada berkait pemberian 40% hasil dan penurunan kuasa kepada negeri untuk projek bawah RM50 juta.

armizan ali bung mokhtar
Armizan Mohd Ali persoal kenyataan Bung Moktar Radin yang sebelum ini mendakwa kerajaan persekutuan akan bankrap jika bayar tuntutan 40% hasil Sabah.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengkritik Bung Moktar Radin yang didakwa bersikap selektif dalam memperjuangkan hak negeri bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya berkaitan pelaksanaan pemberian khas 40%.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung GRS, Armizan Mohd Ali, kenyataan Ketua Umno Sabah itu sebelum ini yang mendakwa pelaksanaan tuntutan tersebut boleh menyebabkan kerajaan persekutuan bankrap mencerminkan sikap tidak konsisten dalam memperjuangkan kepentingan negeri.

Namun katanya, Ahli Parlimen Kinabatangan itu dilihat berbeza nada apabila menyentuh tuntutan supaya projek bernilai bawah RM50 juta diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bawah kerangka MA63.

Merujuk kepada sebuah infografik dengan slogan ‘Fenomena Bung Speed’, Armizan berkata Bung didakwa berjaya mendesak Putrajaya supaya bersetuju meluluskan penurunan kuasa tersebut.

Bagaimanapun, jelasnya, perkembangan itu tidak berlaku ketika pentadbiran Putrajaya bawah Umno, sebaliknya selepas pembentukan kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim bermula Disember 2022.

Armizan yang ketika itu dilantik sebagai menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak berkata, beliau sendiri membawa isu tertunggak berkaitan MA63 ke Kabinet, dengan penurunan kuasa itu menjadi antara agenda utama.

“Saya sendiri mencadangkan had RM50 juta atas alasan jumlah RM30 juta sebelum ini bersamaan dengan nilai projek di bawah bidang kuasa sedia ada Pejabat Perbendaharaan Persekutuan di Sabah dan Sarawak.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Jan 2023 telah meluluskan syor Kementerian Kewangan untuk memberikan pengiktirafan kepada JKR serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknikal.

“Inilah fakta sebenar, bukan disebabkan ketegasan mana-mana individu semata-mata. Penurunan kuasa ini merupakan syor yang terkandung dalam platform MA63 sedia ada,” katanya di Facebook.

Armizan turut menegaskan, kerajaan pusat pimpinan Anwar kini menunjukkan kesediaan yang lebih jelas untuk menyelesaikan isu tertunggak MA63 secara berperingkat dan terancang.

“Sebab itu kita dapat melihat beberapa syor berkaitan MA63, termasuk penurunan kuasa kepada agensi teknikal Sabah, diluluskan dalam tempoh yang agak singkat,” katanya.

Beliau juga menegaskan, isu pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Sabah, yang dipindahkan ke Putrajaya menerusi penubuhan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM), tidak mencerminkan semangat MA63.

“Sejak 2024, peruntukan bantuan pusat untuk pembayaran elaun JPKK tidak lagi disalurkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah kepada kerajaan Sabah.

“Saya yakin ini merupakan kehendak Bung, Umno dan Barisan Nasional Sabah sendiri atas kepentingan parti supaya orang mereka dilantik menganggotai JPKK atau JKDM, sekali gus membelakangkan semangat federalisme dan MA63,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.