
Sebagai institusi latihan TVET automotif diiktiraf, Carsome Academy komited mempersiapkan belia melalui program selaras kehendak industri.
“Melalui kolaborasi ini, Carsome Academy akan menyokong misi YRMS dengan menyediakan laluan khusus dalam sektor automotif.
“Pada masa sama menawarkan alatan dan pendidikan kepada belia yang kurang berkemampuan supaya mereka dapat meraih peluang pekerjaan dan perkembangan diri,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Academy Teoh Jiun Ee dalam kenyataan.
Kolaborasi ini diserlahkan dengan penerimaan Sijil Kerjasama (CoC) yang disampaikan semasa Hari Terbuka TVET YRMS diadakan di Politeknik Sultan Idris Shah, baru-baru ini.
Ia dirasmikan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin yang juga penaung YRMS.
Antara kerjasama dengan YRMS adalah pertimbangan dan keutamaan terhadap permohonan bantuan pengajian bagi pelajar; mewujudkan peluang kerjaya dan pembangunan kemahiran graduan Carsome Academy; dan membuka peluang perkongsian kepakaran, peralatan, dan kemudahan fasiliti.
Selain itu, diadakan kerjasama dalam perundingan latihan dan program pensijilan berkaitan; berkongsi usaha dalam bidang penyelidikan, penerbitan, inovasi, dan pengkomersialan; serta bekerjasama dalam pelaksanaan program belia dan komuniti, dan program kerjasama lain dipersetujui bersama.
Sementara itu, Teoh berkata kerjasama dengan YRMS membolehkan pihaknya memperluaskan peranan dan impak dalam komuniti.
“Dengan menyediakan biasiswa dan pendidikan berkualiti melalui program TVET yang fokus kepada automotif, kami dapat membantu membentuk tenaga kerja masa hadapan dan memberikan peluang kepada belia kurang berkemampuan untuk berjaya,” katanya.