
Anwar berkata, penyertaan yang lebih meluas daripada kedua-dua rantau itu, sama ada melalui kerjasama rasmi atau tidak rasmi, akan membantu membentuk rangka kerja ekonomi global yang lebih adil serta merapatkan jurang antara negara-negara Utara dan Selatan Global.
“Penyertaan lebih besar daripada ekonomi Amerika Latin dan Afrika, sama ada melalui penglibatan formal atau tidak formal, akan menterjemahkan agenda Apec kepada sesuatu yang benar-benar bersifat transformasi, inklusif dan berimpak besar,” katanya dalam ucapan intervensi pada sesi pleno Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec di sini hari ini.
Ketika ini, Apec dianggotai oleh 21 ekonomi, termasuk beberapa dari negara Selatan Global seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina, serta ekonomi maju dari negara Utara Global seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, Kanada, Australia dan New Zealand.
Bagaimanapun, Apec hanya mempunyai tiga anggota dari Amerika Latin — Chile, Mexico dan Peru — serta tiada wakil dari Afrika.
Anwar berkata, kerangka Apec yang bersifat sukarela dan tidak mengikat menjadikannya peneraju dalam membentuk norma ekonomi global, daripada pemudahcaraan perdagangan, barangan mesra alam, hingga kepada susunan perdagangan pelbagai hala yang kemudiannya diterima oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Beliau berkata, pendekatan Apec yang ‘berasaskan pujukan dan bukan paksaan’ masih relevan dalam menangani cabaran global masa kini seperti konflik di Gaza dan Ukraine, yang memerlukan dialog dan kepercayaan.
Anwar menambah bahawa Apec berada pada kedudukan terbaik untuk menjadi wadah idea berkaitan pertumbuhan hijau, transformasi digital, rantaian bekalan berdaya tahan dan peralihan tenaga bersih.

“Tema-tema ini amat bertepatan dengan aspirasi Malaysia di bawah Ekonomi Madani: untuk membina ekonomi yang berdaya tahan, inklusif dan mampan serta memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Beliau menegaskan transformasi global yang sedang berlaku memerlukan kerjasama antara kerajaan, industri, institusi akademik dan komuniti, sambil menambah bahawa ‘tadbir urus kolaboratif bukan tentang perkongsian kuasa, tetapi tentang perkongsian matlamat.’
Dalam pada itu, Anwar turut bertemu pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Jensen Huang serta Pengarah Urusan YTL Power International Yeoh Seok Hong bagi membincangkan perkembangan agenda kecerdasan buatan (AI).
Pertemuan itu turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz sempena APEC 2025.
Anwar berkata Malaysia menyasar menjadi negara peneraju AI menjelang 2030 dengan memanfaatkan teknologi itu untuk meningkatkan produktiviti dan perkhidmatan awam.