
Setiausaha Akhbar Kementerian Luar Jepun, Toshihiro Kitamura, berkata momentum baharu itu bukan sahaja mencerminkan sedekad diplomasi yang konsisten, tetapi juga kepercayaan negaranya untuk membina struktur serantau bersama Asean secara setara.
“Sudah tentu, Jepun ialah sebuah kuasa besar, tetapi bukan kuasa besar dunia seperti AS atau China. Oleh sebab itu, kami sedia bekerjasama dengan Asean pada tahap yang sama,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, pendekatan Jepun terhadap bantuan pembangunan rasmi dan kerjasama lebih meluas dalam bidang ia mempunyai kelebihan adalah ‘bukan memberi ikan tetapi mengajar cara menangkap ikan’.
Katanya, Jepun sedia berkongsi teknologi canggih dan sumber manusia untuk bekerjasama menangani cabaran bersama.
“Kami sedia bekerjasama dan bersama mencipta dengan Asean,” katanya memaklumkan Jepun tidak mampu mewujudkan sistem berasaskan peraturan yang lebih mampan dan berdaya tahan, sama ada bagi menjamin keselamatan atau memudahkan perdagangan, secara bersendirian.
“Kami memerlukan kerjasama dan kolaborasi negara lain terutama Asean dan negara Selatan Global.”
Kitamura berkata, pengiktirafan Asean terhadap FOIP pada 26 Okt, yang kali pertama diperkenalkan pada 2016 oleh bekas perdana menteri Shinzo Abe adalah langkah penting ke hadapan, memandangkan sebelum ini blok tersebut berhati-hati dalam mengiktiraf persamaan antara FOIP dan Pandangan Asean mengenai Indo-Pasifik (AOIP).
“Ini amat penting bagi Jepun. Kami telah mempromosikan inisiatif Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka selama hampir sembilan tahun, bersama sekutu dan negara yang sehaluan.
“Dalam kenyataan bersama kali pertama pada 2020, Asean tidak menegaskan semula persamaan antara dua visi tersebut. Mereka hanya mengambil maklum inisiatif Jepun. Oleh itu, kami menyambut baik pengiktirafan sebegini oleh pihak Asean,” katanya.
Visi FOIP Jepun merangkumi kerjasama pelbagai bidang termasuk bantuan keselamatan tradisional dan aspek ekonomi seperti ketahanan rantaian bekalan.
Takaichi — perdana menteri wanita pertama Jepun, dianggap sebagai anak didik Abe, berhasrat meneruskan visi strategik ini dan mengekalkan status Jepun sebagai rakan dihormati di rantau ini. Pada 2025, Jepun dipilih sebagai kuasa besar paling dipercayai di rantau ini, menurut Tinjauan Asia Tenggara oleh ISEAS-Yusof Ishak Institute.
Kitamura juga berkata, pentadbiran baharu Takaichi akan meneruskan kerjasama dalam bidang lain termasuk ‘Asean-Japan Economic Co-Creation Forum’, sokongan terhadap pembangunan semula Palestin, dan ‘Asia Zero Emission Community’.
Kerjasama ekonomi khususnya dalam sektor baharu seperti kecerdasan buatan juga dijangka diberi lebih perhatian pada masa hadapan.
“Dalam pentadbiran Takaichi, antara agenda paling penting ialah membina ekonomi Jepun yang kukuh,” katanya.
Bagi mencapai matlamat itu, Jepun berusaha membuat pelaburan strategik untuk meningkatkan daya tahan terhadap potensi krisis termasuk dalam keselamatan ekonomi, keselamatan makanan, keselamatan tenaga, keselamatan kesihatan dan perubatan, serta pengurusan bencana.
“Banyak daripada perkara ini juga selari dengan agenda penting mesyuarat Asean,” katanya.