
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti kumpulan warga asing khususnya dari Bangladesh, Nepal, Myanmar dan beberapa negara lain ke negara ini tidak menggunakan sistem sedia ada.
Sebaliknya, mereka menyalahgunakan visa pelancong masuk ke negara ini konon untuk melancong tetapi hakikatnya untuk bekerja secara haram.
Sumber berkata, ini adalah modus operandi yang membuka kepada kegiatan ‘counter setting’ di mana sindiket membayar wang rasuah dengan nilai tertentu kepada penguat kuasa seterusnya menyebabkan berlaku isu warga asing yang melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh sah, bekerja tanpa permit kerja sah dan mengelak senarai hitam dalam negara
“Sindiket ini tidak menggunakan sistem pengurusan berpusat pekerja asing iaitu Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) yang mendaftar dan memantau pekerja asing di negara ini.
“Penyalahgunaan visa pelancong bertujuan untuk bekerja secara haram ini dikenal pasti sangat berleluasa dan membuka peluang kepada warga asing masuk bekerja di negara ini,” katanya.
Menurut sumber, bayaran dikenakan sindiket kepada kumpulan warga asing yang ingin memohon permit kerja ke negara ini adalah lebih RM6,000 hingga RM12,000 dengan menggunakan saluran tidak sah.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.