Kumpulan perniagaan mahu lubang benam Masjid India dibaiki sebelum akhir tahun

Kumpulan perniagaan mahu lubang benam Masjid India dibaiki sebelum akhir tahun

Peniaga mahu kerajaan bertindak segera untuk memulihkan keselamatan dan membolehkan pelanggan datang semula ke kawasan berkenaan, kata Ameer Ali Mydin.

Peniaga di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur mengalami kemerosotan jualan sehingga 80% baru-baru ini berikutan kebimbangan mengenai keselamatan, menurut Ameer Ali Mydin. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Persatuan Perniagaan Masjid India menggesa pihak berkuasa menyegerakan pembaikan lubang benam di sepanjang Jalan Masjid India bagi mengembalikan keselamatan dan membendung kerugian besar akibat kehilangan pelanggan.
Ameer Ali Mydin.

Presidennya, Ameer Ali Mydin, berkata walaupun pihak berkuasa telah memberi jaminan kepada peniaga dan penduduk bahawa kerja itu sedang dijalankan, namun garis masa penyiapan ditetapkan yang mungkin berlanjutan hingga enam bulan adalah terlalu panjang.

“Adalah penting kerja itu disiapkan dalam tempoh tiga hingga empat bulan, menjelang akhir tahun ini.

“Disember dan Mac, iaitu ketika sambutan Hari Raya adalah waktu puncak perniagaan di Masjid India. Harap-harap pembinaan semula akan selesai pada Disember,” kata bos pasar raya besar Mydin itu kepada FMT.

Ameer berkata perniagaan di kawasan itu telah mengalami kemerosotan jualan sehingga 80%, terutamanya kerana jalan telah ditutup untuk membolehkan kerja pembaikan.

Beliau menyeru datuk bandar bermesyuarat dua minggu sekali dengan semua pihak berkepentingan untuk memberikan maklumat terkini mengenai kemajuan kerja-kerja yang sedang dijalankan.

Pada 23 Ogos, seorang warga India, Vijayaletchumy jatuh ke dalam lubang benam di hadapan Malayan Mansion. Operasi mencari dan menyelamat selama sembilan hari dilakukan tetapi dihentikan pada 31 Ogos.

Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa berkata operasi itu dihentikan berikutan kebimbangan terhadap keselamatan pasukan penyelamat dan kawasan sekitar, terutama berikutan penemuan lubang benam kedua berhampiran.

Mohammad Arif.

Sementara itu, Mohammad Arif yang menjalankan perniagaan keluarganya sejak 10 tahun lalu berkata penutupan jalan dan khabar angin yang membayangkan keseluruhan kawasan itu tidak selamat menyebabkan pelanggan menjauhinya.

“Ramai pelanggan tidak boleh masuk kerana jalan ditutup, dan khabar angin tentang Masjid India tidak selamat telah menakutkan orang ramai. Kawasan itu disekat dengan kepingan zink, menyukarkan orang ramai untuk melaluinya. Apabila mereka nampak, mereka mengambil gambar dan menganggap Masjid India tidak boleh diakses,” katanya.

Yunidar Jama’an.

Manakala Yunidar Jama’an yang berniaga selama 30 tahun keadaan agak sukar dan kadangkala dia langsung tidak mendapat jualan dalam tempoh empat hari.

“Semua orang di sekitar Masjid India telah terjejas. Jika jualan masih pada 30%, kami boleh hadapi, tetapi sekarang ia kurang daripada 5%,” katanya.

Che Kamarudin Ibrahim.

Che Kamarudin Ibrahim yang mengalami kemerosotan perniagaan sebanyak 70% berkata pelanggan kerap menghubunginya untuk bertanya sama ada kawasan itu selamat.

“Jika pihak berkuasa, seperti polis, tidak bertindak untuk meyakinkan orang ramai dan mengumumkan bahawa Masjid India selamat, keadaan akan berterusan. Kawasan yang terjejas sedang dibaiki, tetapi selebihnya selamat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.