Pendidikan seksual perlu jadi langkah pencegahan, bukan intervensi, kata Putera MIC

Pendidikan seksual perlu jadi langkah pencegahan, bukan intervensi, kata Putera MIC

Ketua Putera MIC Shatesh Kumar Sangar mahu pelajar dididik tentang hubungan sihat dan hukuman bagi jenayah seksual.

pelajar student
Putera MIC sambut pelaksanaan reformasi pendidikan untuk menjadikan sekolah lebih selamat bagi semua pelajar.
PETALING JAYA:
Pelajar perlu didedahkan kepada isu keganasan seksual serta hukuman undang-undang yang menanti pesalah menerusi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial yang bakal diperkenalkan kerajaan.

Ketua Putera MIC, Shatesh Kumar Sangar, berkata pihaknya menyambut baik pelaksanaan inisiatif itu sebagai sebahagian reformasi pendidikan untuk menjadikan sekolah lebih selamat bagi semua pelajar.

Namun, katanya pelaksanaan subjek itu tidak boleh dilakukan sekadar memenuhi syarat atau dijadikan subjek sampingan seperti sivik dan pendidikan jasmani sebelum ini.

“Pendidikan seksual sepatutnya berfungsi sebagai langkah pencegahan awal, bukan hanya intervensi selepas kejadian.

Shatesh Kumar Sangar
Shatesh Kumar Sangar.

“Pelajar perlu dididik tentang gangguan seksual, rogol, kehamilan remaja dan gejala tidak sihat lain,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut mencadangkan topik penting seperti anatomi dan biologi reproduktif, hubungan sihat, konsep persetujuan (consent), serta identiti jantina dan orientasi seksual dimasukkan dalam kurikulum.

Menurutnya, pelaksanaan yang teliti dan konsisten penting bagi memastikan keberkesanan pendidikan itu serta keselamatan pelajar di seluruh negara.

“Dengan pendidikan yang baik, kita dapat melahirkan generasi yang lebih peka dan menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan lima komponen utama reformasi pendidikan negara secara serta-merta bagi memastikan sekolah menjadi tempat lebih selamat untuk pelajar.

Komponen lain termasuk aspek kesihatan mental, larangan membawa bahan terlarang dan berbahaya, Dasar Perlindungan Kanak-kanak (CPP), serta bimbingan dan sokongan daripada guru.

Langkah itu diambil susulan insiden pembunuhan seorang pelajar di sekolah menengah di Bandar Utama, Selasa lalu, selepas ditikam pelajar dari sekolah sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.